Projek PSI jejas nelayan Pulau Pinang, Perak - Pemikir

Pelan Projek PSI yang melibatkan tiga buah pulau. Gambar kecil: Muhamad Farid
Pelan Projek PSI yang melibatkan tiga buah pulau. Gambar kecil: Muhamad Farid
A
A
A

GEORGETOWN - Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) mempersoalkan kerajaan negeri dan pusat sama ada mempunyai perancangan jangka panjang supaya tidak ada yang dipinggirkan daripada pembangunan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang akan dilaksanakan.

Pengerusinya, Datuk Sr Dr Muhamad Farid Saad berkata, mengimbas kembali projek tambakan laut di Tanjang Tokong yang kini dikenali sebagai Straits Quay atau Seri Tanjung Pinang, ramai nelayan merana sepanjang projek tambakan itu dijalankan.

Menurutnya, dalam pembangunan projek PSI, tambakan yang bermula dengan Pulau A dan dikuti dengan Pulau B dan C berkemungkinan akan berakhir dalam tempoh melebihi 20 tahun.

"Begitu panjang proses tambakan berlaku, begitu panjang juga nelayan akan kehilangan pendapatan.

"Apakah bot-bot yang mereka perolehi sebagai habuan menyokong pihak kerajaan negeri itu mampu bertahan selama itu dan nilai pampasan yang mereka terima mencukupi untuk membiayai kehidupan mereka," katanya menerusi kenyataan di sini pada Sabtu.

Muhamad Farid berkata, projek tambakan laut itu bukan sahaja memberi kesan kepada nelayan Pulau Pinang tetapi kepada nelayan negeri Perak juga.

Jelasnya, pencemaran laut juga akan memberi kesan langsung kepada negeri Perak kerana tanah laut akan diambil dari sana.

"Bagaimana pula dengan tanah-tanah merah dan batu-batu yang akan digunakan. Dari mana semua itu akan diambil?

"Cuba lihat siapakah yang tinggal di Straits Quay atau di Seri Tanjung Pinang...Golongan mana? B40? Golongan manakah yang memonopoli tanah dan rumah di sana. Ia telah menjadi kawasan elit.

"Adakah pihak kerajaan akan memastikan ketiga-tiga pulau ini dihuni secara adil di antara rakyat Pulau Pinang dan antara warga negara dan bukan warganegara," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!