Amirudin mahu pertahan DUN Sungai Tua
SEPANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhasrat untuk pertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dijangka Jun depan.
Amirudin berkata, khidmatnya diperlukan bagi membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Selangor selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin dijangka bakal bersaing di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
"Parti mungkin pertimbang untuk kekalkan saya bertanding memandangkan Mohamed Azmin nyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi DUN.
"Saya lebih utamakan untuk pertahan kerusi DUN Sungai Tua, namun akur jika diarahkan ke kerusi lain," katanya.
Beliau ditemui pada Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di tapak pasar pagi Pekan Salak yang turut melibatkan 10,000 pengunjung di sini pada Jumaat.
Sementara itu, beliau berkata, cadangan berhubung pembubaran DUN Selangor akan dibuat selewat-lewatnya pada Jun depan.
"Penggal DUN Selangor berakhir pada 25 Jun 2023 dan perbincangan bersama menteri besar di negeri terlibat PRN, pembubaran dicadangkan antara minggu ketiga atau keempat pada bulan sama.
"Bagaimanapun, tarikh muktamad pembubaran akan diputuskan selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Jika tidak diumumkan pada tarikh dicadangkan maka DUN akan terbubar secara automatik pada 25 Jun 2023," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!