UMNO sasar rampas Parlimen Pasir Salak, dua DUN

Ahmad Zahid bergambar ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di Dataran UMNO, Pekan Kampung Gajah hari ini. - Foto: Bernama
Ahmad Zahid bergambar ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di Dataran UMNO, Pekan Kampung Gajah hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PASIR SALAK - UMNO menyasarkan untuk merampas semula kerusi Parlimen Pasir Salak dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya harap dalam Pilihan Raya Umum ke-16 nanti atau (apabila) kita ada Pilihan Raya Negeri Perak nanti, kita mahu rampas kerusi dua Dewan Undangan Negeri di Pasir Salak, malah insya-ALLAH kita juga akan rampas semula kerusi Parlimen Pasir Salak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidiflfitri UMNO Bahagian Pasir Salak, di Kampong Gajah di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kawasan Parlimen Parlimen Pasir Salak dan dua DUN di bawah Parlimen itu kini disandang oleh wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) iaitu Jamaludin Yahya (Parlimen Pasir Salak), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (DUN Sungai Manik) dan Zafarulazhan Zan (DUN Kampong Gajah).

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut mengumumkan jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop bakal dibuka untuk pengguna pada 31 Mei ini.

"Saya ingin mengesahkan dan saya mengumumkan di Pasir Salak ini, by hook or by crook (dengan apa cara sekalipun) 31 Mei wajib orang Pasir Salak dan Bagan Datuk menyeberang memakai jambatan baharu itu.

"Jadi saya harap pembangunan seperti itu kita manfaatkan untuk bukan sahaja dari segi infrastuktur, tetapi yang penting ialah pembangunan ekonomi Kampong Gajah dan kawasan Parlimen Pasir Salak serta penduduk dan kawasan Parlimen Bagan Datuk akan dapat dibangunkan,” katanya.

Pada 11 April lepas, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan memaklumkan pembukaan jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop yang dijadual menjelang Aidilfitri ini ditunda ke penghujung Mei ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!