Kean Yew, Anthony berentap di final BAC 2023

Kean Yew - Foto Facebook UAE Badminton Federation
Kean Yew - Foto Facebook UAE Badminton Federation
A
A
A

PEMAIN Singapura, Loh Kean Yew mengesahkan slot perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 selepas menewaskan pemain China, Lu Guang Zu dalam straight set di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu.

Dalam perlawanan di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr itu kedua-dua pemain saling bertukar mata pada set pertama.

Namun dua mata berturut-turut diperoleh Kean Yew yang juga pilihan ketujuh kejohanan membolehkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu menang set pertama 21-19.

Set kedua, kedua pemain menampilkan permainan agresif, namun Kean Yew tidak menoleh ke belakang meningkatkan tekanan untuk menang 21-15.

Sebagai rekod, bekas juara dunia itu sebelum ini menewaskan Lee Cheuk Yiu pada suku akhir kejohanan di Dubai.

Pemain berprofil tinggi itu juga sebelum ini menyingkirkan cabaran pemain dari India, Lakshya Sen dan Bahaedeen Ahmad Alshannik dari Jordan pada pusingan awal.

Kean Yew akan menentang pemain pilihan kedua dari Indonesia Anthony Sinisuka Ginting dalam perlawanan akhir yang dijadualkan pada Ahad.

Anthony sebelum itu menewaskan pemain dari Jepun, Kante Tsuneyama, 21-13, 21-16 dalam masa 37 minit di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr, Dubai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!