Mediasi kuasa seorang editor

Editor bertanggungjawab memelihara dan melestarikan kedudukan dan maqam karya sastera. - Gambar hiasan
Editor bertanggungjawab memelihara dan melestarikan kedudukan dan maqam karya sastera. - Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP karya sastera akan berhadapan dengan seorang editor. Karya itu akan dibaca dan dinilai oleh sebuah watak yang berotoritatif, mapan dan berkuasa bagi menentukan kedudukan sesebuah karya tersebut.

Jika karya itu memenuhi syarat piawaiannya, maka karya itu akan diterbitkan. Sebaliknya, karya itu akan ditolak. Itulah tugas hakiki seorang editor.

Dengan kuasa dan kedudukan yang sedemikian, editor sangat dihormati, juga ditakuti.

Editor bertanggungjawab memelihara dan melestarikan kedudukan dan maqam karya sastera.

Mempunyai pertimbangan yang adil dan bertugas penuh dedikasi.

Teori sosiologi sastera sangat memuliakannya, sebuah aliran teorinya ialah produksi sastera, ketuanya ialah Pierre Macherey.

Dalam bukunya A Theory of Literary Production (1996), menyediakan konsep mediasi dengan serangkaian tanggungjawab sebagai editor yang menentukan nilai dan hukum sesebuah karya.

Budayanya yang berdepan dengan pelbagai manuskrip, melatih diri editor menjadi sebagai seorang penilai yang penuh berhemat.

Dialah pengkritik pertama untuk manuskrip itu. Lazimnya rumah penerbitan menentukan kriteria dan gaya penerbitannya.

Karya untuk akhbar, majalah dan buku, masing-masingnya memiliki tuntutan dan syarat yang berbeza dan tersendiri.

Keris Mas telah membuktikan sebagai editor yang terhormat. Dua buah jilid manuskrip yang memenangi pertandingan menulis novel yang terbiar, telah disuntingnya dengan menjadikannya sejilid sahaja.

Dalam konteks teori intertekskstualiti Keris Mas melakukan haplologi dan mengeksistensikannya, bagi melakukan transformasi untuk mengemaskan struktur novel tersebut.

Novel yang hanya memenangi hadiah penghargaan itu, telah mengalahkan teks yang memenangi hadiah utamanya.

Teks tersebut ialah Salina karya A Samad Said yang melanggar kedudukan Musafir karya Hassan Ali.

Begitulah besarnya kerja seorang editor dengan kuasa di tangannya. Membekaskan budi yang tak ternilai harganya.

ARENA WATI

Sampai juga berita kepada kita bagaimana pengalaman Anwar Ridhwan menyunting manuskrip Arena Wati, sehingga membuangnya sampai 200 halaman.

Manuskrip asal yang kurang identifikasi watak dan jalinan plotnya itu, menjadi kemas dan memiliki naratif menurut naratologi tekstual sebagai sebuah novel.

Sebanyak lima buah novel Arena Wati telah disunting oleh Anwar Ridhwan, termasuk Sudara dan Sukma Angin.

Saya pernah membuat kritikan terhadap kedua-dua novel itu, termasuk juga novel Citra dan Panrita.

Sumber karya Arena Wati undur ke belakang mendekati sejarah, mitos dan legenda, justeru warisan dan khazanah lama itu menyimpan tokoh-tokoh pencari kebenaran yang bersedia membayar dengan darah dan air mata.

Novel Arena Wati itu diterima sebagai bermutu, dan Sukma Angin sebagai teks kanonnya. Tidak syak lagi ini adalah hasil buah tangan Anwar Ridhwan sebagai editornya.

Pierre Macherey menyifatkan kerja editor, sebagai berada dalam daerah apa yang disebutnya “situation of mediation”.

Sesebuah teks sebagai material penghasilan pengarang, berada dalam proses penerbitan dan produksi, sebelum sampai kepada khalayak.

Mediasi ini sangat mempengaruhi dan menentukan nilai karya.

Seorang editor yang mahir, tajam dan menguasai roh manuskrip yang ditanganinya, dapat melonjakkan produksinya sebuah teks bermutu.

Begitulah juga sebaliknya. Mediasi bererti medan penilaian dan proses pembaikan.

Dalam sesebuah pertandingan atau anugerah, mediasi ialah ruang lingkup sepanjang penilaiannya.

Saya pernah katakan Suhaimi Haji Muhammad layak menerima Anugerah Sastera Negara, tetapi beliau mengalami kesukaran, kerana langkanya dalam aspek mediasi.

Suhaimi Haji Muhammad terkenal sebagai the lone ranger, kurang sahabat yang boleh yang mempromosinya, membina pagar berduri dan berdiri sendiri di atas batu pasir.

Piere Macherey, teoris sastera Marxisme dalam aliran produksi sastera itu, menggesa seseorang pengarang yang hendak berjaya, harus membina ruang mediasinya sendiri, supaya tidak terkurung dalam penjara peribadi.

Dalam ruang lingkup mediasi penilaian ini, boleh berlaku penyelewengan. Tidak mustahil dalam penilaian Hadiah Sastera Perdana, Sea Write Award dan Anugerah Sastera Negara, kemungkinan berlaku kezaliman dalam pemilihannya.

Seandainya ada penilainya dilantik dalam kalangan kenalan calon, ini sangat bahaya, kerana akan gugur pada perangkap libidonya. Atau penilainya itu pernah termakan budi calon.

SYAIR ARAB JAHILIAH

Contohnya, calon pernah mengkritik karya penilai dan mengangkatnya. Mediasi begini sangat memalukan dan menjatuhkan darjat sesebuah anugerah.

Apalagi wujudnya suara di belakang tabirnya seperti kroni dan kawan. Fenomena ini perlu diperhatikan. Penilaian syair-syair Arab jahiliah pun untuk pemilihan karya “muallaqat”, sangat menjaga unsur-unsur penyelewengan dalam pengadilannya, tidak pernah berlaku sepanjang persejarahannya.

Dalam konteks ini pihak pengurusan, pemikir sastera dan para pakar sastera sezaman, haruslah waspada terhadap ruang lingkup mediasi. Memeliharanya dengan adil dan kembali kepada riayah Ilahi, adalah usaha untuk memartabatkannya.

Pelbagai gaya dan personaliti seorang editor dan penilai sastera. Ramai yang dedikasi, mudah bicara, mesra dan bermaklumat.

Kadang-kadang terlalu banyak manuskrip yang ditangani membuat editor berada dalam suasana kepayahan, kerana dikejar pengarang.

Dalam konteks ini harus ada persafahaman dan timbang-rasa.

Sebuah manuskrip saya, pernah mendapat suntingan yang baik, sehingga bukunya memenangi Hadiah Sastera Perdana 2005, Drama Melayu Tradisional, Moden dan Pascamoden.

Terima kasih kepada editornya Hasrina Baharum, yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Setiap kita mungkin berpengalaman, saya berpengalaman menjadi ketua editor kepada enam buah jurnal berwasit.

Penulisan yang bermutu banyak menyelesaikan tugas. Tetapi terdapat tulisan yang perlu suntingan dan perhatian.

Memahami situasi ini, ruang lingkup mediasi bagi seorang editor sangat mencabar. Dia berada di tengah sahabat, guru, sifu dan penulis baharu yang inginkan ruangan.

Dalam konteks ini sastera Melayu mengharapkan ruang mediasi, baik bagi penilai dan penyunting berlaku dengan adil.

Seseorang yang menerjunkan dirinya ke dalam karier editorial ini, tentulah arif akan ditimang oleh alun ombak dan badai penerbitan.

Mediasi editornya mempersiapkan dirinya untuk memilih karya yang baik dan relevan. Juga berhadapan dengan karinah pengarang yang pelbagai.

Namun, tiada siapa dapat menafikan tugas editor yang penuh cabaran itu, tersangat suci, diperlukan dan juga diperhatikan.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!