Giliran Hattan pula 'disekolahkan' netizen

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Hattan yang 'sekolahkan' pembaca berita ketika bersiaran secara langsung di sebuah stesen televisyen berbayar mendapat perhatian daripada netizen.

Menerusi rakaman video yang tular, penyanyi otai itu dihubungi oleh pembaca berita wanita menerusi siaran secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan 'makan dalam'.

Bagaimanapun, Hattan menegur pembaca berita yang didakwanya tidak membuat persediaan.

Susulan daripada kejadian tersebut, rata-rata netizen merasakan Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 59, itu kurang beradab kerana didakwa sengaja memalukan petugas media.

Mereka mula menyerang dan 'menyekolahkan' Hattan di media sosial ekoran sikap tidak profesional dan biadap itu.

Seorang netizen berkata, Hattan tidak perlu berbuat demikian dan sekiranya salah, beliau boleh betulkan dengan cara sebaiknya.

Sementara itu, seorang netizen memberitahu, dia sudah 'unfollow' Hattan.

"Dia tidak layak disanjung, tiada adab dan memalukan orang macam ini," kata pemilik akaun instagram husaiikucaii.

Mereka juga menasihati Hattan supaya tidak terlalu beremosi kerana bukan semua orang mengetahui tentang industri muzik dengan lebih mendalam serta pembaca berita tersebut hanya menjalankan tugas dan bukanlah seorang wartawan hiburan.

"Datuk, itu pembaca berita bukan wartawan hiburan, jangan samakan semua orang tahu serba serbi pasal industri seni. Tegur sampai memalukan secara 'live' sangat tidak patut," selar seorang netizen.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Farah Marshita Abdul Patah berkata, tindakan memalukan petugas media sama ada oleh orang luar, artis, ahli politik mahupun menteri harus dihentikan dengan segera.

Menurut beliau, dalam hal membabitkan Astro Awani, NUJ menggesa supaya penyanyi Datuk Hattan bertindak lebih profesional, sekiranya beliau tidak mahu menjawab soalan yang diajukan, beliau boleh dengan sopan menolak pertanyaan itu.

“Tindakan seperti itu akan memulakan rantaian ‘chain of events’, di mana selepas ini orang lain juga boleh bertindak kurang ajar dengan petugas media.

Belajarlah saling menghormati dan tunjukkan teladan yang baik terutamanya kepada generasi muda pendirian NUJ adalah untuk saling menghormati,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!