Muhammad Azeem raih tempat keenam di Florida

Muhammad Azeem
Muhammad Azeem
A
A
A

PELARI pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menamatkan saingan acara 100 meter (m) di tempat keenam pada Kejohanan East Coast Relays di Jacksonville, Florida, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Menurut laman sesawang kejohanan, Muhammad Azeem yang mewakili Universiti Auburn menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.14 saat (s) pada kejohanan yang berlangsung di University of North Florida.

Catatan itu sekali gus memperbaiki rekod perlumbaan 100m pertamanya di bumi ‘Uncle Sam’ ketika menjuarai Kejohanan Florida State University (FSU) Relays yang hanya mencatatkan 10.32s pada Mac lepas.

Anak kelahiran Perak berusia 19 tahun itu juga boleh tersenyum lebar apabila berjaya menewaskan pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2015, Abdul Hakim Sani Brown dari Jepun yang menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Muhammad Azeem menerusi laman Twitternya berkata: "10.14s and we back to work! (10.14s dan kita kembali bekerja!) Alhamdullilah”.

Beliau merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan iaitu 10.09s yang dibuat pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali pada Ogos lepas.

Kejohanan East Coast Relays itu dimenangi oleh Cejhae Greene mewakili Puma dengan 10.01s, diikuti wakil Tumbleweed Track Club, Xie Zhenye (10.06s) dan Dominique Alexander dari Universiti Campell di tempat ketiga (10.11s).

Yan Haibin dari Tumbleweed Track Club di tempat keempat dengan 10.11s dan wakil Virginia Tech Cole Beck di kedudukan kelima (10.14s). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!