Nasib pesakit buah pinggang kronik dapat perhatian

Devanathan (kanan) menyerahkan sumbangan Econsave Prihatin kepada Nurul Ain semasa menziarahi Muhammad Aqil Sudais di Kampung Pida 8, Tandop, Ayer Hitam baru-baru ini.
Devanathan (kanan) menyerahkan sumbangan Econsave Prihatin kepada Nurul Ain semasa menziarahi Muhammad Aqil Sudais di Kampung Pida 8, Tandop, Ayer Hitam baru-baru ini.
A
A
A

AYER HITAM - Kisah adik Muhammad Aqil Sudais Muhammad Jefri yang menderita penyakit buah pinggang kronik walaupun baru berusia empat tahun mendapat perhatian pelbagai pihak selepas kisahnya disiarkan media sebelum ini.

Ibunya, Nurul Ain Jawahir Md Isa, 29, berkata, sokongan yang diberikan oleh orang ramai melalui badan bukan kerajaan mahupun persendirian juga memberikan kekuatan kepada mereka sekeluarga untuk menjaga Muhammad Aqil Sudais sebaik mungkin.

Menurutnya, perhatian 24 jam perlu diberikan kepada anak keduanya itu akibat semakin kerap diserang sawan sekepas mencuba ubat baharu.

"Sebelum ini Muhammad Aqil Sudais pernah diserang sawan sehingga 100 kali sehari selepas tukar ubat. Saya perlu rekod jumlah dia diserang sawan setiap hari untuk rujukan doktor. Kemudian kami guna kembali ubat lama untuknya tapi sawan tetap berlaku setiap hari walaupun jumlah sawan sudah berkurang.

"Kos belanja ubat memang tinggi tapi kami terharu sebab ramai pihak tampil membantu memberikan sumbangan tunai dan barang keperluan termasuk susu khas sekali gus meringankan sedikit beban perbelanjaan selepas kisah anak kami disiarkan media," katanya selepas menerima kunjungan Pengurus Econsave Cawangan Pokok Sena, B Devanathan di Kampung Pida 8, Tandop, dekat sini yang menyampaikan sumbangan Econsave Prihatin bernilai RM1,000.

Nurul Ain berkata lagi, sumbangan yang diterima dapat digunakan untuk Muhammad Aqil Sudais yang mendapatkan rawatan dan berjumpa pakar di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini.

Jelasnya, permata hatinya itu juga akan menjalani satu pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk merawat saluran air kecil dan satu temu janji bersama pakar bakal diadakan sebelum rawatan tersebut diteruskan.

"Kami tidak tahu berapa lagi kos pembedahan tersebut kerana doktor masih lagi sedang menilai kaedah yang paling terbaik dan tidak mendatangkan risiko yang besar kepada Muhammad Aqil Sudais," ujarnya lagi.

Sementara itu, Devanathan pula berkata, Econsave cawangan Pokok Sena tampil membantu selepas kisah kanak-kanak tersebut tular dan disiarkan oleh media termasuk Sinar Harian.

Menurutnya, sumbangan Econsave Prihatin yang dihulurkan adalah barangan dapur dan rumah termasuk susu khas yang menjadi keperluan utama Muhammad Aqil Sudais.

Pada 16 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang bapa terpaksa berhenti kerja kerana perlu memberikan tumpuan kepada anak bongsunya yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik selepas dilahirkan tiga tahun lalu.

Muhamad Jefri Marzuki, 33, yang bekerja selama tujuh tahun di sebuah pasar raya di Alor Setar perlu membuat keputusan itu kerana sering mengambil cuti untuk membawa Muhammad Aqil Sudais ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Bagi mereka yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Akaun CIMB (7070481567) atau menghubungi Nurul Ain Jawahir Md Isa di nombor 017-5918441.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!