PM hadir rumah terbuka kerajaan Sabah
KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Beliau yang tiba pada jam 11 pagi turut menyantuni orang ramai yang hadir pada majlis itu dengan diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kabinet negeri.
Majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Sabah itu turut diserikan dengan kehadiran Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Orang ramai yang hadir seawal jam 8 pagi turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan z selain dihidangkan dengan beraneka jenis juadah Hari Raya daripada lebih 50 gerai di sekitar pekarangan SICC.
Hajiji sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada lebih 70 orang kurang berkemampuan yang terdiri daripada golongan warga emas, persatuan orang buta, orang pekak, rumah kebajikan dan rumah anak yatim pada majlis itu.
Majlis rumah terbuka kali ini dihadiri oleh kira-kira 20,000 tetamu bukan saja datang dari sekitar Kota Kinabalu tetapi juga dari Tawau, Paitan, Keningau dan lain-lain daerah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!