Bekas penagih dadah akhir berjaya dalam pelajaran
JEMPOL - Bermula dengan perasaan ingin mencuba, seorang pemuda di sini hanyut dalam kancah penagihan dadah seawal usia 15 tahun.
Dia yang dikenali sebagai Adam, 21, berkata, tindakannya itu bukanlah kerana ajakan rakan-rakannya sebaliknya disebabkan keinginan diri sendiri.
"Saya cuba dadah jenis syabu atau ais sehingga ketagih sebelum mengambil keputusan berhenti sekolah dan tidak meneruskan pembelajaran di tingkatan empat dan lima.
"Bagi menggelakkan bekalan dadah terputus, saya bekerja di sebuah kedai alat ganti kenderaan dan bateri kereta. Wang gaji habis digunakan untuk membeli dadah termasuklah judi dalam talian tanpa pengetahuan keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, perbuatan itu tidak bertahan lama berikutan dia ditahan polis ketika berumur 17 tahun dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila melihat wajah keluarganya terutamanya ibu yang kecewa sebaik mengetahuinya.
"Saya dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Melaka selama tiga tahun dan diberi peluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
"Memang agak tertekan ditambah pula negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun berbaloi apabila saya memperoleh 4A 3B dalam SPM sekali gus menebus kekecewaan keluarga suatu ketika dahulu, walaupun ia tidaklah sehebat keputusan orang lain," katanya yang mendapat keputusan SPM pada Jun tahun lalu.
Ujarnya, dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di pusat pengajian awam tempatan pada Oktober tahun sama, namun terpaksa melupakannya berikutan berdepan kekangan kewangan.
"Saya daripada keluarga yang bukan senang, tambahan pula keadaan kesihatan ayah yang tidak memuaskan, justeru saya bekerja di sebuah hotel di Melaka dan benar-benar mahu berubah.
"Alhamdulillah, kini saya lebih tenang dan bersyukur keluarga sentiasa memberi sokongan supaya saya menjadi orang yang memberi manfaat kepada keluarga serta masyarakat," katanya.
Tambahnya, mahu orang ramai mengambil iktibar daripada kisahnya dan tidak menolak sokongan keluarga serta masyarakat sekeliling antara faktor yang mendorongnya kekal positif.
"Saya harap masyarakat tidak memandang serong terhadap mana-mana individu yang pernah 'membuat salah' ini sebaliknya berikan peluang untuk kami memperbaiki diri supaya perbuatan sama tidak berulang seterusnya menjalani kehidupan lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!