Khalid kecewa sumbangan khairat kematian dihentikan

Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Kerajaan Selangor menghentikan pemberian sumbangan khairat kematian berjumlah RM2,500 seiring pelarasan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bermula 30 April ini disifatkan sebagai sangat mengecewakan.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, skim itu diperkenalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 tetapi akan ditamatkan oleh kerajaan PH Mei depan.

Beliau berkata, sebelum ini, Tabung Kewangan Anak Selangor (Tawas) dan Hadiah Perkahwinan untuk Belia juga terlebih awal dibatalkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, kesemua program tersebut adalah antara 14 program kebajikan di bawah Skim Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor yang mempunyai matlamat murni iaitu memulangkan hasil negeri kepada rakyat.

"Selaku menteri besar pada ketika itu, saya mahu rakyat merasai negeri ini milik mereka. Justeru slogan #Selangorku begitu terpahat di hati rakyat.

"Pada masa yang sama, saya turut mahu membuktikan apabila hasil negeri diurus dengan baik oleh kerajaan, maka rakyat juga berhak merasa pulangannya," katanya menerusi status di Facebook hari ini.

Status ditulis Abdul Khalid di Facebook menyatakan kekecewaannya dengan pengumuman Menteri Besar Selangor untuk menghentikan pemberian sumbangan khairat kematian RM2,500 seiring pelarasan SMUE bermula 30 April ini.
Status ditulis Abdul Khalid di Facebook menyatakan kekecewaannya dengan pengumuman Menteri Besar Selangor untuk menghentikan pemberian sumbangan khairat kematian RM2,500 seiring pelarasan SMUE bermula 30 April ini.

Abdul Khalid berkata, malangnya ahli politik di bawah PH setelah mendapat mandat daripada rakyat, tidak mempunyai niat yang sama atau tidak mampu serta tidak berkebolehan untuk meneruskan usaha yang dimulakannya dahulu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pastinya skandal 1MDB tidak boleh dijadikan alasan kegagalan mereka meneruskan program kebajikan rakyat ini.

"Saya tidak fikir sumber hasil pendapatan Selangor sekarang jauh berbeza dengan apa yang diperolehi pada zaman saya.

"Namun yang berbeza adalah pendekatan pengurusan dan pentadbiran. Diburukkan lagi dengan perbelanjaan yang tidak dikawal, tiadanya cermat dan hemat serta amanah," katanya.

Menurutnya, dahulu rakyat Selangor boleh berbangga berasal dari negeri yang paling kaya dan maju serta dirahmati dengan pelbagai program kebajikan tetapi sekarang rakyat Selangor mungkin antara yang paling malang.

"Selain pemberian air percuma kepada setiap isi rumah akan dibatalkan, tarif air pula akan dinaikkan.

"Ini semua merupakan kesan dan akibat langsung dari tindakan kerajaan negeri yang tunduk kepada pemegang konsesi SPLASH dengan membayar RM2.7 billion iaitu 10 kali lebih banyak dari nilai yang sepatutnya dalam urusan penstrukturan semula industri air di negeri ini," katanya.

Abdul Khalid berkata, meskipun perit dengan perkembangan ekonomi dan terik dengan tekanan kos sara hidup, rakyat Selangor perlu bertabah.

"Jangan sesekali putus asa memperjuangkan yang hak. Kepada pemimpin pula jangan sesekali khianat kepada amanah yang diberikan rakyat kerana sekali rakyat bertindak kerajaan berusia 60 tahun juga boleh runtuh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!