Pujuk, rayu pelancong asing guna khidmat 'ulat'
SEPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengesan taktik seorang lelaki disyaki pemandu kereta sewa haram atau 'ulat' bagi mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di sini.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, modus operandi itu berjaya dikesan pihaknya susulan penahanan seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova pada Jumaat.
"Hasil daripada intipan dan pemantauan di KLIA 2, kita telah membuat tangkapan 'ulat' berkenaan dan menyita sebuah kenderaan MPV," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Khairul Khar berkata, siasatan awal mendapati 'ulat' yang menggunakan Toyota Innova terbabit mengenakan kadar tambang sebanyak RM50 kepada seorang pelancong asing dari KLIA 2 ke sebuah hotel di sini setelah sampai ke destinasi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," ujarnya.
Tambahnya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan disediakan di KLIA dan KLIA 2 atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.
"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari masa ke masa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!