Cuaca panas: Kerajaan Sabah bincang lanjut cuti sekolah

Kerajaan Sabah bawa ke kabinet negeri bincang lanjut cuti sekolah susulan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini. - Foto hiasan/Bernama
Kerajaan Sabah bawa ke kabinet negeri bincang lanjut cuti sekolah susulan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebarang keputusan mengenai cadangan melanjutkan cuti persekolahan berikutan cuaca panas ketika ini akan dibawa untuk perbincangan di peringkat kabinet negeri, kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau yang juga Exco Pendidikan negeri berkata, perkara itu juga akan dibincangkan di peringkat Persekutuan dan peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

"Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mendapatkan pandangan selain makluman berkaitan pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) di sini pada Ahad.

Majlis itu dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Pada Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, jemaah menteri harus berbincang sama ada cuti sekolah perlu dilanjutkan susulan fenomena haba panas yang melanda negara ketika ini sehingga menyebabkan dua kematian melibatkan kanak-kanak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!