Isu PSI: Tiada keperluan untuk berdebat

Kon Yeow (empat dari kiri) ketika merasmikan Sambutan Hari Wesak 2023 yang diadakan di Bangunan Persatuan Buddha Malaysia di Jalan Burma pada Ahad.
Kon Yeow (empat dari kiri) ketika merasmikan Sambutan Hari Wesak 2023 yang diadakan di Bangunan Persatuan Buddha Malaysia di Jalan Burma pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada keperluan untuk berdebat secara terbuka dengan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung isu Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini kerajaan negeri bersama dengan rakan pelaksana projek telah melalui pelbagai proses bagi permohonan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) termasuk sesi libat urus bersama pemegang taruh, pendengaran awam serta banyak lagi yang boleh diambil bahagian oleh orang ramai.

Menurutnya, dengan kelulusan PSR yang diperoleh kini, pihaknya mahu fokus kepada PSI termasuk untuk memulakan kerja-kerja tebus guna untuk dijadikan pulau buatan.

"Kita percaya apa yang menjadi pertikaian, persoalan dan jawapan kepada PSI itu semuanya sudah berlalu dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan semua agensi teknikal sudah pun letakan syarat-syarat, sekiranya kerajaan negeri tidak dapat patuh dengan syarat ditetapkan maka Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) tidak akan boleh diluluskan.

"Sebaliknya jika EMP diluluskan ia telah melalui satu tapisan begitu rapi oleh semua jabatan baharulah JAS boleh keluarkan kelulusan dengan syarat untuk dipatuhi," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Wesak 2023 yang diadakan di Bangunan Persatuan Buddha Malaysia di Jalan Burma dekat sini.

Sebelum ini, Dominic mencabar Kon Yeow bagi berdebat secara terbuka berhubung projek PSI dan Seberang Perai.

Cabaran itu dibuat Dominic kerana mendakwa rakyat negeri Pulau Pinang membantah perlaksanaan projek tersebut walaupun pihak kerajaan negeri mendakwa rakyat menyokong penuh perlaksanaannya.

"Beliau (Kon Yeow) berkata badan bukan kerajaan dan parti pembangkang hanya tahu mempolitikkan isu projek PSI, namun bagaimana pula dengan suara rakyat seperti golongan nelayan?” soalnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Dominic perlu pandang kehadapan dan sepatutnya beliau perlu mengambil bahagian dalam proses yang telah diadakan sebelum ini.

"Kalau dia tak ambil bahagian dalam proses telah diadakan sebelum ini saya pun tak boleh nak buat apa...mungkin dia nak bawa perkara ini ke mahkamah, itu hak dia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!