'Itu pendapat Khalid, bukan pendirian Amanah' - Ahmad Zahid

Zahid (dua dari kiri) bersama Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria pada Ahad.
Zahid (dua dari kiri) bersama Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pendapat dikeluarkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad bukan pendirian daripada parti itu sebaliknya hanya pendapat peribadinya semata-mata.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya selepas mengadakan perbincangan bersama kepimpinan atasan Amanah.

"Saya menyantuni perbezaan pendapat di antara individu. Apabila saya mengadakan perbincangan dengan kepimpinan atasan parti itu, mereka berpendapat bahawa perkara tersebut adalah pendapat peribadi dan bukan pendirian parti.

"Saya harap individu terbabit (Khalid) dapat membezakan pendapat peribadi beliau dengan pendirian parti keseluruhannya," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang diadakan di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria pada Ahad.

Sebelum itu, Khalid menyatakan UMNO perlu menghormati pendirian Amanah mengenai isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khalid menegaskan, dasar hormat menghormati dan kesepakatan untuk memelihara negara perlu diberi keutamaan berbanding perbezaan pendapat berhubung isu-isu khusus seperti pembebasan bekas Presiden UMNO itu.

Sebelum ini, Khalid memaklumkan Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya permohonan pengampunan Najib ditolak.

Mengulas lanjut, Zahid meminta Khalid untuk belajar menghormati rakan-rakan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Ujarnya, Khalid sepatutnya tidak mempunyai tanggapan bahawa seolah beliau sebagai individu yang masih berada dalam kepompong pemikiran pembangkang.

"Lupakan soal perbezaan ini. Jumpa dengan saya sendiri untuk dapatkan pengesahan bagaimana pendirian parti saya (UMNO) tentang isu beliau bangkitkan.

"Jangan hanya membaca apa tersurat dan lihat apa tersirat. Ini penting supaya 19 parti yang pelbagai dalam Kerajaan Perpaduan dapat menunjukkan keharmonian.

"Jangan pernah cari titik perbezaan dan hendaklah cari titik persamaan. Ini terbaik supaya naratif diwujudkan itu beri gambaran baik kepada rakyat seluruhnya," ujarnya.

Sementara itu, berhubung kenyataan daripada Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman mengenai tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan dengan Amanah, Zahid berkata, isu tersebut sudah diselesaikan menerusi pertemuan dengan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

Jelasnya, reaksi tersebut timbul kerana mereka merasakan bahawa ada jawapan perlu diberikan.

"Bagaimanapun saya memberitahu, kita selesaikan dengan cara baik dan tiada lagi isu-isu dikeluarkan oleh mana-mana pihak serta kita harmonikan keadaan ini semula," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!