Pangsapuri retak: Penduduk mohon status tanah disegerakan
AMPANG - "Selagi keputusan status tanah belum keluar, selagi itu kami risau," kata seorang penduduk Pangsapuri Taman Keramat Permai, Mimi Lop Saidin, 59.
Dia yang tinggal di pangsapuri itu sejak 1991 mendakwa terdapat beberapa bahagian bawah tanah lopong dijadikan laluan tikus sehingga kesannya dapat dilihat pada waktu hujan apabila longkang mengeluarkan air bercampur tanah.
"Saya harap agensi berkaitan dapat melakukan pemeriksaan secara menyeluruh, bukan melibatkan blok terlibat sahaja, kerana tak nampak keadaan dalam tanah, mungkin teruk dan membahayakan.
"Sebelum kejadian memang ada kesan retak namun tidak terlalu teruk sehinggalah kejadian semalam apabila penduduk diarahkan mengosongkan blok," katanya.
Jurutera komputer, Fahmi Shapawi, 30 berkata, ibu mentuanya memaklumkan pernah diarahkan mengosongkan unit di Blok C susulan berlakunya gelongsoran tanah sekitar tahun 90-an
"Penduduk diarahkan berpindah dan Blok C itu dirobohkan. Pemaju membina blok baharu dan penduduk terlibat masuk ke unit baharu enam tahun kemudian.
"Saya harap keretakan di Blok F tidak serius seperti yang berlaku di Blok C dan berharap punca keretakan itu dilakukan secara menyeluruh. Kenal pasti faktor penyebab sama ada disebabkan pembangunan sekeliling atau masalah lain," katanya.
Seorang lagi penduduk, Ahmad Shukri Kulup Mat Rasat, 73 berkata, dia simpati dengan nasib mangsa terlibat yang kurang selesa terpaksa berpindah ke dewan.
"Kesian juga sebab nak Ramadan patutnya fokus untuk ibadat tapi diuji sebegini pula. Saya harap mangsa bersabar dan memberikan ruang kepada agensi terlibat buat kerja di tapak kerana melibatkan aspek keselamatan.
"Saya harap kejadian ini diberikan perhatian serius, memantau penyelenggaraan dengan meletakkan keselamatan penduduk ditangga paling atas," katanya.
Seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan penemuan keretakan di bangunan itu sejak tengah hari semalam.
Seramai 37 keluarga dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat sebagai langkah keselamatan dan sehingga 4 petang ini seramai 12 keluarga telah mendaftarkan diri ke PPS itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!