Yew Sin-Ee Yi naib juara BAC 2023
KEGAGALAN mengekalkan rentak cemerlang menyaksikan beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa berputih mata apabila dinafikan hajat menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 setelah tewas dalam perlawanan akhir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad.
Dalam perlawanan di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr itu, Yew Sin-Ee Yi yang juga pilihan kelapan terpaksa akur pengalaman pilihan keenam gandingan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, yang menang 16-21, 21-17, 21-19 dalam pertarungan sejam tujuh minit.
Pada aksi set pertama Yew Sin-Ee Yi bermula garang apabila saling bertukar mata dengan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty sebelum pasangan negara menutup perlawanan dengan kemenangan 21-16.
Set kedua Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang berstatus juara Terbuka Switzerland kembali menyusun permainan setelah ketinggalan 3-8 untuk menang 21-17 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan berintensiti tinggi.
Pada set penentuan, Yew Sin-Ee Yi kembali tampil semula dalam permainan apabila mendahului sebelum beberapa kesilapan mudah menyaksikan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menutup gelanggang dengan kemenangan 21-19.
Sebagai rekod, Yew Sin-Ee Yi tampil ke perlawanan akhir dengan mengejutkan juara dunia 2021, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun pada separuh akhir dan beregu nombor satu dunia, Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia di suku akhir.
Kali terakhir Malaysia mengungguli acara beregu lelaki kejohanan tersebut adalah semasa edisi Johor Bahru 2007 menerusi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menyingkirkan cabaran rakan sepasukan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-14, 11-21, 21-12
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!