Siti Nurhaliza nafi kenyataan rumah terbuka jadi majlis politik

Status dimuat naik di Instagram Story milik Siti Nurhaliza
Status dimuat naik di Instagram Story milik Siti Nurhaliza
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menafikan berita palsu berhubung kenyataan mengenai rumah terbuka Aidilfitri di Kedah menjadi majlis politik yang tular di media sosial baru-baru ini.

Siti turut meminta sebuah portal media tempatan untuk tidak memanjangkan berita palsu berkenaan kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Siapalah yang pandai-pandai edit berita palsu ini, gunakan nama Facebook saya (yang verified) dan 'forward' merata-rata serta yakinkan orang ini adalah posting (hantaran) sebenar.

"Ini adalah palsu. Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ni, saya ni penyanyi dan hiburkan semua orang.

"Bulan Syawal ini, bulan jalinkan silaturahim bukan sebar-sebar berita palsu," katanya menerusi status dimuat naik di Instagram Story miliknya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitternya meminta rakan-rakan media untuk sentiasa mengesahkan info dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu sedemikian.

Ujarnya, Siti Nurhaliza sudah menegur laman portal media tersebut tentang berita palsu yang ditulis di laman itu namun malangnya berita palsu berkenaan tersebar sejak semalam dan telah menjadi fitnah yang merebak jauh ke pelbagai komuniti.

"Malah ada yang percaya atau dijadikan bahan politik," ujarnya.

Justeru, Fahmi berkata, tindakan undang-undang juga boleh diambil oleh agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran.

Fahmi dalam balasan komen juga menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti laman website yang kerap menyiarkan berita palsu dan berunsur fitnah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!