Newcastle United digamit Liga Juara-Juara
NEWCASTLE United hampir pasti bermain dalam Liga Juara-Juara musim depan selepas dua gol Callum Wilson menyaksikan The Magpies bangkit menewaskan kelab tercorot Southampton 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium St. James' Park pada Ahad.
Bagaimanapun Newcastle yang berada di tempat ketiga sebelum itu digegarkan pada minit ke-41 apabila Stuart Armstrong meletakkan The Saints di hadapan.
Namun Newcastle, yang tidak bermain dalam Liga Juara-Juara selama dua dekad, mendominasi separuh masa kedua dengan pemain gantian, Wilson membuat impak serta-merta dengan jaringan minit ke-54.
Dia kemudian mendapat satu lagi gol, namun dibatalkan kerana ofsaid tetapi kelegaan Southampton tidak lama kerana gol sendiri Theo Walcott minit ke-79 meletakkan anak buah Eddie Howe di hadapan.
Dua minit kemudian Wilson, yang masuk pada separuh masa, memastikan tiga mata tuan rumah selepas menterjemahkan hantaran Alexander Isak pada minit ke-81.
Kemenangan ke-18 liga Newcastle itu membolehkan The Magpies mengumpul 65 mata dengan baki lima perlawanan, 11 mata di depan Tottenham Hotspur yang berada di tangga kelima yang bermain di tempat ketujuh Liverpool pada Ahad.
Southampton pula berada di hujung zon penyingkiran selepas selama sedekad di peringkat teratas dengan 24 mata dengan baki empat perlawanan, enam mata di belakang Nottingham Forest yang menduduki tempat ke-17.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!