Tembikai laris di musim panas
JENGKA - Musim panas menyebabkan jualan tembikai laris membuatkan seorang peniaga tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan sehingga mampu menjual lebih tujuh tan sehari.
Noor Akma Mat Saad, 34, memberitahu, setiap hari dia dan suaminya, Nazli Azudin, 35, menawarkan tembikai merah, kuning dan madu di gerai yang terletak di Jengka 16.
Menurut Noor Akma, dia menjual tembikai manis tanpa biji hasil kebunnya sendiri seluas 2.4 hektar yang terletak di Kuala Sentul, Maran.
"Kami jual dengan harga rendah dari pasaran iaitu RM2.50 sekilogram kerana ia hasil dari kebun sendiri sejak Ramadan lalu.
"Sebelum ini hasil kebun ditolak kepada peraih tapi tahun ini, saya dan suami berniat nak bagi semua orang rasa dan dapat beli tembikai berkualiti dengan harga murah dan ambil keputusan jual sendiri kepada orang ramai," kata Noor kepada Sinar Harian.
Tambah dia, sepanjang Ramadan lalu, jualan lebih tinggi diraih dengan hampir sembilan tan dapat dijual setiap hari.
"Ikutkan memang tembikai merah lebih tinggi permintaan tapi sebenarnya rasa tembikai kuning lebih manis berbanding yang lain.
"Musim panas ini juga memang memberikan kelebihan buat pekebun tembikai kerana hasil buah lebih menggalakkan serta rasanya lebih manis," jelas dia lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!