Cerita kereta rosak di lebuh raya dan kumpulan manusia baik hati

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SATU perkara yang paling Merak Jalanan takut adalah kereta rosak di lebuh raya. Bukan apa, hampir empat tahun berulang-alik dari Seri Kembangan ke Shah Alam, Selangor, macam-macam peristiwa berlaku depan mata.

Kereta terbakar, tayar pancit, malah kemalangan kecil dan besar pernah disaksikan. Hal-hal itulah yang bikin lebuh raya sesak teruk terutama pada waktu puncak. Mahu dijadikan cerita, pada minggu kedua Ramadan, kereta dipandu Merak Jalanan mati di tengah jalan.

Rasa panik memang susah nak cakap. Tiba-tiba tak tahu apa nak buat. Memang kaget.Masakan tidak, tatkala melihat Lebuhraya KESAS sesak teruk dalam sekelip mata membuatkan jantung ini berdegup kencang.

Namun, tanpa semena-mena seorang adik rider ShopeeFood dan beberapa penunggang berhenti. Ingatkan mereka nak marah, tetapi sebenarnya mahu membantu memeriksa kereta. Seorang lelaki lain membantu menghubungi ejen insurans. Seorang lagi cuba menenangkan diri ini yang cemas.

Saat cuba mengawal emosi, tiba-tiba Merak Jalanan ‘dihujani’ bunyi hon daripada banyak pemandu kereta dan penunggang motosikal sambil menunjukkan isyarat supaya bersabar. Suasana yang langsung tak dijangka!

Kira-kira 20 minit sebelum azan bergema, trak insurans sampai. Sekumpulan manusia yang baik hati tadi, masing-masing menawarkan makanan berbuka sebelum beredar.

Ah! Rasa sebak hanya ALLAH yang tahu. Lebih mengharukan, pemandu trak yang merupakan pemuda India bukan sekadar 'angkut' kereta, tetapi berbesar hati menghantar Merak Jalanan ke rumah.

Katanya, amat mustahil untuk dapatkan khidmat GrabCar ketika orang mahu berbuka puasa.

Dalam tempoh 40 minit, pada Ramadan ke-13, tidak salah untuk Merak Jalanan memberi kesimpulan bahawa sifat empati, tolong-menolong dan berbuat baik sesama kita walau berlainan bangsa masih menebal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!