Catatan sempena Hari Pekerja
DALAM lapangan media, memang tiada istilah cuti. Walau hari raya sekalipun, kerja tetap berjalan seperti biasa. Bezanya, mungkin akhbar tidak dicetak tetapi versi dalam talian masih beroperasi.
Ada yang kata sambutan Hari Pekerja tidak berapa sinonim dengan pengamal media.
Walau apa pun pandangan, masih ramai lagi rakyat Malaysia menikmati 'hari libur nasional' itu.
Seperti kelaziman, pada tanggal 1 Mei, akan muncul ramai pihak yang mengusung pelbagai tuntutan.
Antaranya seperti kerja lebih masa, permohonan bayaran yang tertunda, hak cuti haid, akses kepada infrastruktur lebih baik, kemudahan teknologi dan gajet serta banyak lagi. Rata-rata kehendak itu sebenarnya sentiasa 'bergema' di hampir seluruh dunia.
Itu belum ambil kira permintaan terhadap model kerja yang lebih fleksibel lagi. Masakan tidak, wabak Covid-19 telah membuatkan ramai memikirkan kembali tentang dunia kerja pada masa depan.
Hal itu bukan remeh kerana ia turut dibincangkan oleh konglomerat media, Reuters dalam satu konferens pada tahun lalu.
Antara inti pati yang menarik perhatian adalah kenyataan daripada wakil Presiden Loom, Meghana Reddy yang mengatakan: "Kita akan bekerja sesuai dengan kehidupan, bukan lagi menyesuaikan hidup dengan pekerjaan."
Jumlah masa yang panjang di pejabat turut dianggap bukan lagi melambangkan etos seseorang kuat bekerja.
Apa pun, tidak kira majikan atau pekerja, Hari Pekerja yang juga merupakan cuti antarabangsa itu perlu diraikan dalam suasana kebersamaan.
Masing-masing perlu memainkan peranan. Majikan disaran untuk terus mewujudkan suasana kerja yang kondusif, berintegriti, bertolak ansur, adil, tiada unsur pilih kasih, menjaga kebajikan, tidak terlalu berkira, sediakan latihan atau keperluan yang secukupnya dan sekali-sekala berilah penghargaan kepada ‘anak buah’.
Pekerja juga wajib ada momentum yang sama. Tingkatkan produktiviti, jangan malas, jangan ponteng kerja, jangan asyik beri alasan itu ini atau merungut tak tentu fasal.
Jika kedua-dua pihak bersatu dalam memberi yang terbaik dan mengelak perselisihan, nescaya operasi organisasi akan berjalan dengan lancar, menguntungkan, harmoni dan menggembirakan.
Justeru, jadikanlah Hari Pekerja sebagai platform untuk meningkatkan solidariti dan sinergi di antara majikan dan pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!