Mampukah Taiwan bertahan dengan China?
Baru-baru ini China telah mengerahkan kapal perang termasuk kapal pengangkut pesawat berhampiran Taiwan susulan berang dengan tindakan Presiden Taiwan, Tsai Ing wen yang bertemu dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarty di California.
Lawatan itu adalah langkah sama dibuat Ing wen pada Ogos 2022 apabila menerima kunjungan bekas Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke pulau yang diperintah sendiri sehingga mencetuskan latihan ketenteraan berskala besar-besaran China di bawah pimpinan Presiden Xi Jinping.
Latihan yang digelar Joint Sword membabitkan puluhan jet pejuang dan beberapa kapal pengangkut pesawat dilakukan sebagai menunjukkan keupayaan sebenar Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) untuk menawan Taiwan secara paksa jika perlu.
Malah, penganalisis dan pakar mendakwa provokasi pencerobohan besar-besaran di Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) telah menunjukkan kemajuan persediaan PLA untuk menyerang Taiwan bila-bila masa. Katanya, pembabitan AS yang bertujuan membantu pulau didiami 23 juta penduduk supaya bebas daripada ancaman China, dijangka memburukkan lagi ketegangan dan menjurus peperangan bakal berlaku.
Namun begitu, jika Taiwan tidak mendapatkan bantuan daripada kuasa besar seperti AS, China berjanji penyatuan semula secara aman dengan pulau dapat dilaksanakan tanpa pertumpahan darah.
Bagaimanapun, China pernah mengulangi bahawa mereka boleh menawan Taiwan dengan cepat jika pihak antarabangsa kurang campur tangan untuk membantu pulau tersebut.
Sumber sejarah menyatakan Taiwan berada dalam kawalan penuh China pada abad ke-17 semasa di bawah pentadbiran Dinasti Qing dan kemudian pada tahun 1895 mereka menyerahkan pulau itu kepada Jepun selepas kalah dalam perang China-Jepun.
Kemudian, China merampas Taiwan semula pada tahun 1945 selepas Jepun kalah Perang Dunia Kedua. Tapi, perang saudara meletus di tanah besar China membabitkan pasukan nasionalis kerajaan dipimpin Chiang Kai-shek dan Parti Komunis Mao Zedong.
Pada tahun 1949, parti komunis memenangi peperangan itu dan menguasai Beijing.
Bagaimanapun, Kai-shek yang tewas telah melarikan diri ke Taiwan dan mereka memerintah pulau itu selama beberapa dekad dengan menggelarnya sebagai Republik China (ROC) dan mentadbir secara bebas dari tanah besar China atau Republik Rakyat China (PRC).
China dalam satu kenyataan diplomatik yang bertujuan menjelaskan kekeliruan itu, Beijing menegaskan hanya ada 'Satu China' dan Taiwan adalah sebahagian daripada tanah besar dan PRC adalah satu kerajaan China yang sah.
Selain itu dari segi ekonomi, Taiwan merupakan pembekal cip komputer terbesar di dunia dan pengambilalihan China di pulau itu boleh memberikan Beijing mengawal salah satu industri semikonduktor tersebut.
Selama beberapa dekad, tentera Taiwan mula membeli jet pejuang dan peluru berpandu dari AS, yang terus menjadi satu-satunya penjamin terbesar keselamatan pulau itu walaupun tidak mempunyai hubungan diplomatik secara 'rasmi'.
Pada bulan lalu, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden menjadi tajuk utama dengan meluluskan penjualan ke Taiwan dianggarkan bernilai AS$619 juta (RM2.7 bilion), termasuk ratusan peluru berpandu untuk jet pejuang F-16. Malah, Taipei baru-baru ini mengumumkan lanjutan tempoh perkhidmatan ketenteraan mandatori daripada empat bulan ke setahun bagi memperkukuhkan anggota tentera simpanan mereka.
Selain itu, pulau tersebut turut mempercepatkan program pembangunan senjata domestik bagi memperkuatkan keupayaan menentang ancaman China yang dilihat giat menonjolkan senjata canggih mereka semasa 'mengepung' Taiwan baru-baru ini.
Awal minggu ini, Kementerian Pertahanan Taiwan mendedahkan dron tempur jarak jauh milik China yang berkemampuan membawa muatan senjata berat dilaporkan mengelilingi pulau tersebut.
Menteri Pertahanan Taiwan Chiu Kuo-cheng berkata, Taipei sedang berbincang dengan AS mengenai rancangan untuk mewujudkan stok simpanan senjata di pulau tersebut.
Kesimpulannya, ancaman pencerobohan China ke atas Taiwan akan memberikan kesan yang besar dari segi geopolitik dan ekonomi serta kestabilan di rantau tersebut seperti mana Rusia yang menceroboh Ukraine baru-baru ini.
* Zulhilmi Hat ialah wartawan Meja Global Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!