Tentera Sudan dakwa gagalkan cubaan rampasan kuasa RSF

Orang ramai larikan diri ketika pertempuran jalanan antara tentera dan separa tentera pada Khamis. - Foto AFP
Orang ramai larikan diri ketika pertempuran jalanan antara tentera dan separa tentera pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

KHARTOUM - Angkatan Tentera Sudan mendakwa pihaknya berjaya menggagalkan percubaan pasukan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) untuk merampas kuasa di negara itu.

Dalam satu kenyataan, Angkatan Tentera Sudan berkata, kesemua percubaan pemberontak dan ejen mereka dari dalam dan luar negara untuk mempromosi projek dengan menipu orang serta memalsukan fakta telah gagal.

Menurut kenyataan itu, Angkatan Tentera Sudan sedang berusaha untuk mewujudkan keadaan yang sesuai supaya agensi negeri dapat meneruskan kerja dan kehidupan dapat kembali normal secepat mungkin.

Setakat ini, RSF belum memberi sebarang komen berhubung kenyataan tersebut.

Baru-baru ini pertempuran meletus antara angkatan tentera dan RSF di Khartoum, ibu negara Sudan dan beberapa bandar berhampiran walaupun gencatan senjata dipersetujui selama tiga hari.

Kementerian Kesihatan Sudan mendedahkan, lebih 500 orang terbunuh dan lebih 4,000 cedera sejak konflik bermula pada 15 April lalu.

Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 selepas tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.

Tempoh peralihan Sudan yang bermula pada Ogos 2019, dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!