Gencatan senjata di Sudan dilanjutkan 72 jam

Orang ramai berjalan di pasar El Geneina, ibu kota Darfur Barat, ketika pertempuran berterusan di Sudan antara tentera dua jeneral saingan pada Sabtu. - Foto AFP
Orang ramai berjalan di pasar El Geneina, ibu kota Darfur Barat, ketika pertempuran berterusan di Sudan antara tentera dua jeneral saingan pada Sabtu. - Foto AFP
A
A
A

KHARTOUM - Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada Ahad mengumumkan komitmen mereka terhadap gencatan senjata baharu selama 72 jam, berkuat kuasa tengah malam Ahad.

"Berdasarkan usaha dan permintaan Saudi-Amerika yang menjadi perantara, Angkatan Tentera bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata tambahan selama 72 jam,” menurut tentera dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

Tentera menyuarakan harapan bahawa pihak RSF turut mematuhi gencatan senjata itu.

Sementara itu, RSF dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa "sebagai tindak balas kepada seruan antarabangsa, serantau dan tempatan, kami mengisytiharkan lanjutan gencatan senjata kemanusiaan tambahan 72 jam, mulai tengah malam hari ini".

RSF memaklumkan, pihaknya bersetuju dengan lanjutan gencatan senjata untuk membuka laluan kemanusiaan, memudahkan pergerakan rakyat dan membolehkan mereka mendapatkan keperluan mereka dan mencari perlindungan di kawasan selamat.

Kenyataan itu menekankan komitmen RSF terhadap syarat-syarat kemanusiaan dan gencatan senjata sepenuhnya.

Pada Ahad juga, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan memaklumkan penutupan ruang udara negara itu akan dilanjutkan hingga 13 Mei.

Penerbangan untuk bantuan kemanusiaan dan pemindahan dikecualikan selepas mendapat permit daripada pihak berkuasa berkaitan dan kelulusan Angkatan Tentera Sudan.

Sudan menyaksikan pemindahan warga asing dan diplomat melalui udara, darat dan laut secara besar-besaran sejak meletusnya pertempuran antara tentera dan RSF di Khartoum dan kawasan lain sejak 15 April.

Setakat ini, pertempuran itu telah menyebabkan lebih 500 orang terbunuh dan lebih 4,000 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Sudan. - Bernama/ Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!