TNB kongsi panduan jimat elektrik ketika cuaca panas

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkongsi panduan bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sepanjang tempoh peningkatan titik panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini.

TNB menerusi kenyataan berkata, sepanjang tempoh berkenaan, penggunaan elektrik dijangka meningkat akibat cuaca panas selain masih dalam musim perayaan Aidilfitri.

"Untuk memantau penggunaan elektrik secara langsung, pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang, sama ada menerusi portal myTNB atau aplikasi myTNB," menurut kenyataan itu pada Isnin.

TNB memaklumkan, antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah mematikan alat penyaman udara, kipas dan lampu dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

Selain itu, menghidupkan kipas pada waktu malam membantu penggerakan udara di dalam bilik dan tetapkan masa untuk alat penyaman udara dimatikan bagi penjimatan elektrik.

Pengguna juga digalak memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

Di samping itu, pengguna disaran menyenggara alat penyaman udara dengan kerap bagi membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum selain membersihkan penapis agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar.

Maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak boleh didapati di www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!