Kutipan hasil Selangor melebihi sasaran
KLANG - Kutipan hasil negeri Selangor berjaya mencapai 45 peratus iaitu sebanyak RM893.11 juta melebihi sasaran ditetapkan setakat 15 Mac lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasil itu merupakan angka memberangsangkan dalam tempoh kurang tiga bulan pertama tahun ini iaitu dari RM2 bilion disasarkan pada 2023.
“Ini juga tanda keyakinan rakyat dan komuniti perniagaan di Selangor terhadap pentadbiran yang mengemudi negeri ini hampir lima tahun sebelum kita memasuki Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.
“Kita tidak boleh ambil mudah keyakinan ini dan saya berharap keyakinan prestasi pungutan hasil negeri juga diterjemahkan dalam minggu dan bulan yang akan datang, InsyaALLAH,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran dan turut berkongsi beberapa keping gambar program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Taman Sri Kerayong di laman Facebooknya pada Isnin.
Amirudin berkata, susulan prestasi pungutan hasil kerajaan negeri Selangor sepanjang pentadbiran, pihaknya mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023.
Menurutnya, insentif itu bukan sahaja memberikan satu bulan gaji kepada penjawat awam Selangor, tetapi juga penjawat awam persekutuan seperti guru, polis dan lain yang berkhidmat di negeri ini turut menerima manfaat ini.
“Ini dibuat julung kalinya di Selangor Darul Ehsan dan didorong atas kejayaan prestasi pungutan hasil kerajaan negeri dalam tiga bulan pertama tahun ini,” katanya.
Pada Ahad, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin berkenan berangkat memeriahkan program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Taman Sri Kerayong.
Ketibaan baginda disambut Amirudin dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Rumah terbuka daerah Klang itu menerima kunjungan lebih 10,000 tetamu dan turut dimeriahkan dengan rewang sekampung iaitu penyediaan juadah dimasak secara gotong-royong bersama penduduk setempat.
Program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April lalu di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!