Howe akui Wilson buat Newcastle tersenyum

Howe
Howe
A
A
A

PENGENDALI Newcastle United, Eddie Howe memberi tabik hormat kepada Callum Wilson yang muncul pencetus inspirasi The Magpies untuk bangkit ketinggalan satu gol menewaskan Southampton, 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium St Jame's Park.

Wilson yang dimasukkan pada separuh masa kedua menjaringkan dua gol pada minit ke-54 dan 81 manakala satu jaringan lagi hasil jaringan sendiri pemain Southampton, Theo Walcott (m-79) bagi memadamkan pendahuluan awal Stuart Armstrong (m-41).

“Sesungguhnya Callum adalah pemain yang luar biasa apabila dia ternyata mengubah gaya permainan untuk Newcastle United pada separuh masa kedua.

“Pertama sekali seperti biasa dia tampil dengan sikap yang betul. Dia mempunyai keinginan menjaringkan gol, untuk pasukan dan dirinya, dan dia bermungkinan berpeluang menjaringkan hatrik.

“Apa yang pasti kehadirannya pada separuh masa kedua memberikan impak positif untuk kemenangan Newcastle United dalam perlawanan ini,” kata Howe.

Kemenangan ke-13 musim ini - kelapan dalam sembilan perlawanan liga - menyaksikan Newcastle kini menduduki tangga ketiga liga dengan 65 mata - 10 mata di belakang Arsenal, 11 mata ketinggalan dari penyandang juara Manchester City, kian menghampiri slot Liga Juara-Juara musim depan.

Penyerang berusia 31 tahun itu sebelum ini diketepikan daripada kesebelasan utama Newcastle United walaupun menjaringkan dua gol ketika membaham Everton 4-1 di Stadium Goodison Park pada 28 April lalu.

Namun Wilson memanfaatkan sepenuhnya potensi diri untuk membantu The Magpies menukar defisit 0-1 kepada kemenangan 3-1 ke atas The Saints.

Untuk kali kedua musim ini, Wilson dinamakan antara pemain gantian selepas menjaringkan dua gol - nasib sama yang turut dialami Alexander Isak dan Jacob Murphy dalam beberapa minggu kebelakangan ini - walaupun Howe menegaskan pemain tersebut tidak mempersoalkan keputusannya itu.

“Saya tahu dia terdesak untuk bermain setiap minit perlawanan, tetapi saya mempunyai kewajipan memastikan dia kekal cergas selama mungkin kerana apabila dia cergas dan bermain serta melakukan apa yang dia lakukan seperti hari ini, saya rasa tidak ada orang yang lebih baik.

“Saya gembira untuknya, dan ia jelas memberi saya sesuatu untuk difikirkan ketika Newcastle United mengharungi lima perlawanan terakhir.

“Dalam seminggu tiga perlawanan sebelum ini, Callum mungkin akan bermain setiap perlawanan – dan setiap minit setiap perlawanan – dan itu mungkin bermakna dia mengalami kecederaan, jadi kami boleh menguruskannya dengan berhati-hati.

“Tetapi apa yang saya akan katakan ialah pada masa di mana dia telah diuruskan, sikapnya benar-benar kelas pertama. Itulah sebabnya dia boleh beraksi seperti yang kita semua lihat dalam perlawanan ini,” ujar Howe.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!