Kedah catat peningkatan 76.7 peratus kes Covid-19
ALOR SETAR - Sebanyak 281 kes Covid-19 dicatatkan di Kedah bagi tempoh 23 hingga 29 April lalu, iaitu peningkatan sebanyak 76.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, majoriti kes dilaporkan adalah melalui saringan bergejala iaitu sebanyak 71.9 peratus.
Katanya, kebanyakan kes bagaimanapun hanya bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
"Pada minggu sama, peratus harian pengisian katil biasa dan rawatan rapi yang diperuntukan untuk kes Covid-19 di negeri ini berada di bawah paras 25 peratus," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, secara keseluruhannya sejak permulaan Covid-19, Kedah telah mencatatkan sejumlah 319,742 kes.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,065 kes dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI) dan ketika ini juga, omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang menular," katanya.
Menurutnya, setakat ini belum ada satu pun kes melibatkan subvarian baharu Covid-19, Arcturus dilaporkan di Kedah.
"Ketika ini kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan hospital masih lagi terkawal serta tidak berada pada tahap membebankan, namun berdasarkan peningkatan kes semasa, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah mengarahkan semua pejabat kesihatan daerah, hospital dan klinik seluruh negeri meningkatkan kesiapsiagaan serta pengawasan terhadap semua pesakit yang mendapatkan rawatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!