Wajibkan pelajar bawa botol air ke sekolah - CAP
GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan arahan segera kepada setiap pelajar untuk membawa air ke sekolah untuk mengatasi cuaca panas di Malaysia pada masa ini.
Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow berkata, botol air yang dibawa mestilah botol bebas plastik.
Menurutnya, pada masa ini hanya segelintir pelajar yang membawa botol air ke sekolah tetapi yang lain tidak membawa kerana mereka tidak mempunyainya.
"Setiap pelajar mesti berfikir untuk membawa botol air dan minum lebih banyak air pada haba yang melampau sekarang.
"Guru kelas perlu memastikan setiap pelajar membawa air dan menghabiskan air sebelum mereka meninggalkan kelas," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Subbarow berkata, KPM perlu mengambil langkah pencegahan terhadap murid sekolah agar terhindar daripada strok haba.
Katanya, pelajar sekolah mesti diselamatkan daripada gelombang panas.
"Jangan jadikan pelajar hanya untuk duduk di bawah kipas tetapi ajar mereka bagaimana untuk mencegah atau mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengatasi panas yang menindas.
"Minum air adalah cara terbaik tetapi ada kanak-kanak yang membelanjakan wang untuk membeli minuman berkarbonat manis... mereka lupa tentang kepentingan air kosong," katanya.
Sementara itu, Subbarow berkata, sekiranya pelajar atau ibu bapa mereka tidak dapat membeli botol air bebas dari plastik, KPM perlu mengambil tindakan sewajarnya seperti di bawah projek Rahmah mendapatkan botol air percuma kepada setiap pelajar.
"Kita mesti mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan pelajar sekolah daripada terdedah kepada suhu tinggi yang berbahaya.
"Berikan satu botol air bebas dari plastik kepada setiap pelajar," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!