'Tiada salahnya sayangkan bangsa, itu naluri manusia'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan tiada salahnya jika seseorang sayang kepada bangsanya kerana ia adalah naluri manusia.

Bahkan, Abdul Hadi berpendapat orang Melayu tidak melakukan kesalahan sekiranya mereka sayang sesama sendiri dan berkeinginan untuk bersatu serta bekerjasama.

“Apa yang salah apabila dijadikan akidah dan ideologi sehingga sampai ke peringkat fanatik. Islam pun melarang dan mengharamkan fanatik terhadap kaum.

“Orang dapat melihat bila orang Melayu hendak berbaik dan bekerjasama dianggap sebagai perkauman, fanatik agama dan digelar Taliban, bila mereka buat tidak perkauman.

“Mereka membuat tuntutan-tuntutan untuk sekolah Cina dan sekolah lain, ini bukan perkauman?” soal beliau dalam laman Facebooknya, hari ini.

Status dimuat naik beliau bermula dengan satu soalan berkisarkan kerjasama Pas dan UMNO sehingga digelar sebagai penyatuan yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi negara Taliban.

“Kita tengok mereka amat mencemburui kerjasama baik yang sedang berlaku antara Pas dengan UMNO sehingga digelar sebagai satu penyatuan yang boleh menyebabkan negara ini boleh jadi Taliban.

“Bagaimana pandangan Tuan Guru?” soalan ditulis dalam laman Facebook beliau.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Marang itu kemudian menjawab soalan tersebut dan menganggap mereka yang melontarkan perkataan ‘Taliban’ itu sudah terlajak cakap.

“Bila mereka sudah terlanjur bercakap, orang tua kata kalau terlajak perahu boleh undur, terlajak kereta boleh undur balik. Terlajak cakap ini kalau undur balik pun orang dah masuk dalam kepala, orang dah dengar.

“Tidak mudah untuk undur balik dan sebab itu mesti cermat dalam membuat kenyataan ini malah kita juga sudah memperkenalkan konsep sayang pada bangsa merupakan sesuatu yang tidak menjadi kesalahan.

“Orang Melayu sayang pada Melayu, Cina sayang pada Cina, India sayang pada India. Sayang pada kaum ini tidak salah,” ujarnya.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa rakyat akan menderita jika UMNO, Pas membentuk kerajaan dan menjadikan negara ini seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Kenyataan Ahli Parlimen Teluk Intan itu mendapat kecaman pelbagai pihak yang menganggap ia melampau dan bertujuan menakutkan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!