AMK Alor Setar buat laporan polis isu bantah kehadiran Zahid
ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar berkaitan kenyataan media palsu yang membantah kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada Himpunan Madani di Alor Setar pada Jumaat.
Ketuanya, Tan Jin Hao berkata, AMK Alor Setar menafikan sekeras-keras kenyataan terbabit yang diuar-uarkan di media sosial baru-baru ini.
"Kami AMK Alor Setar menyokong penuh kepimpinan kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinet hari ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, sebarang provokasi dalam menjejaskan dan menggugat kestabilan keharmonian antara rakyat Malaysia adalah sangat ditentang oleh AMK Alor Setar.
"Kami sebaliknya menyokong penuh semua kebaikan dasar yang dibawa hari ini oleh kerajaan Malaysia Madani.
"Terima kasih juga atas sokongan kuat daripada Ketua Cabang Alor Setar Keadilan yang juga ADUN Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!