Kabinet bincang isu pelaksanaan gaji minimum bulan depan - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Isu pelaksanaan gaji minimum akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet bulan depan untuk mendapatkan penyelesaian 'sekali dan untuk semua', kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada majlis sambutan Hari Pekerja 2023 bertema 'Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani' di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan gaji minimum masih sukar dilaksanakan dan pelaksanaannya juga 'hiruk-pikuk'.
"Sebab itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan kita nak selesaikan once and for all (sekali dan untuk semua),” katanya.
Perintah gaji minimum dengan kadar RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei tahun lepas untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.
Bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ditangguhkan dari 1 Januari lepas kepada 1 Julai depan.
Anwar berkata, kerajaan pimpinannya mengutamakan upah pekerja di Malaysia supaya dapat ditingkatkan."Saya tidak mahu majikan, pakar ekonomi atau menteri mempertikaikan (upah pekerja). Tanggungjawab kita adalah meningkatkan upah bagi pekerja swasta dan awam," katanya kerajaan akan mengumumkan 'satu persatu' perubahan yang dilakukan dalam membela nasib pekerja.
Anwar berkata, ada syarikat mencatat keuntungan dan produktiviti meningkat tetapi upah pekerja itu tidak meningkat.
"Setiap pekerja yang memberi sumbangan harus diberi pengiktirafan tidak mengira jawatan dan pangkat," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!