Bekalan gula terputus di Kelantan
KOTA BHARU - Kesukaran mendapatkan bekalan gula di pasaran, memaksa peniaga kedai makan di negeri ini menggantikan bahan mentah itu dengan susu pekat bagi meneruskan perniagaan berasaskan minuman.
Peniaga yang ingin dikenali sebagai Noraini, 54, berkata, sejak dua hari lalu dia terpaksa menggunakan susu pekat sebagai pengganti rasa manis ke dalam minuman.
"Terpaksalah, nasib baik pelanggan memahami.
"Hendak tutup kedai, rugilah kerana baru beberapa hari berniaga selepas sambutan Aidilfitri," katanya.
Dia berharap perkara tersebut tidak berlarutan kerana gula merupakan bahan utama untuk perniagaan kedai makannya.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit, pemborong dan pasar raya besar di beberapa jajahan di negeri ini mendapati rak yang meletakkan bahan mentah tersebut kosong.
Seorang peniaga kedai runcit di Pasir Puteh, Hasnah, 43, memberitahu, dia sudah letih untuk naik turun kedai pemborong dan pasar raya sejak Sabtu lalu, namun sehingga sekarang bekalan gula masih belum diperoleh.
"Sekarang ini musim orang ramai buat rumah terbuka, jadi gula sangat diperlukan.
"Sebagai peniaga saya sudah melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan bekalan tetapi masih gagal," katanya.
Pesara kerajaan, Mustapa Hassan, 67, pula terpaksa memilih minuman berkarbonat untuk dihidangkan kepada tetamu pada jamuan rumah terbukanya di Pasir Mas.
"Beberapa pasar raya sudah 'dijelajah' namun bekalan gula tiada di pasaran.
"Jika masalah tersebut berterusan ia bukan sahaja menyukarkan pengguna tetapi peniaga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!