Ziarah raya bertukar tragedi, anak lemas dalam kolam renang

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun meninggal dunia akibat lemas dalam kolam renang di sebuah rumah di Tambun, di sini pada Ahad. - Gambar hiasan 123RF
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun meninggal dunia akibat lemas dalam kolam renang di sebuah rumah di Tambun, di sini pada Ahad. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun meninggal dunia akibat lemas dalam kolam renang di sebuah rumah di Tambun, di sini pada Ahad.

Kejadian sekitar jam 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa bersama ibu bapanya menziarahi ahli keluarga.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa dijumpai terapung dalam kolam renang berkenaan oleh abangnya berusia 15 tahun.

"Siasatan dijalankan mendapati, kolam renang kanak-kanak itu berada di tepi sebuah rumah lot dimiliki jiran datuk mangsa.

"Sebelum kejadian didapati mangsa bersama ibunya berada dalam rumah tersebut manakala bapanya keluar menghantar saudara balik ke tempat penginapan lain," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan mati lemas.

Menurutnya, satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 33(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) atas kesalahan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.

"Polis memandang serius kes begini dan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap ibu bapa atau penjaga terlibat.

"Ini adalah kes keempat mati lemas melibatkan mangsa kanak-kanak di Ipoh pada tahun ini berpunca daripada kegagalan ibu bapa yang membiarkan kanak-kanak jagaan tanpa pengawasan hingga menyebabkan kemalangan jiwa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!