Habis ribuan ringgit untuk 'sado'
SHAH ALAM - Segelintir lelaki sanggup berhabis wang ringgit dengan membelanjakan antara RM1,000 hingga RM1,200 sebulan demi merealisasikan impian mereka untuk mendapatkan tubuh badan tegap dan sasa atau ‘sado’.
Bagi seorang pemuda, Mohd Hafizi Md Zulkifli, 34, dia sanggup berbelanja lebih RM1,200 setiap bulan untuk membeli makanan basah, suplemen dan juga bayaran keahlian gim kerana minat serta mendambakan bentuk badan yang cantik.
Mohd Hafizi memberitahu, biasanya dia akan membeli seekor ayam yang bersaiz besar, salmon 10 ketul, satu kilogram daging, sayur serta buah-buahan untuk dijadikan stok selama dua hari selain turut mengamalkan 15 biji telur setiap hari.
“Tidak sukar untuk mendapatkan badan ‘sado’ namun usaha mengekalkan kondisi otot tegap sangat mencabar apatah lagi dengan kesibukan aktiviti harian, perlu menjaga pemakanan serta memerlukan kos yang sangat tinggi.
“Tidak dinafikan saya pernah menghadapi masalah kewangan sehingga melakukan kerja sambilan bagi memastikan diet tidak terjejas dan ia sangat berbaloi. Kita akan rasa satu kepuasan apabila mendapatkan bentuk badan yang diimpikan,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Dulu budak obes
Seorang jurutera, Nazdeen Eskandar, 31, berkongsi pengalaman yang menyebabkan dia nekad untuk menceburi dalam sukan bina badan.
Ujarnya, pada permulaan dia hanya bercadang untuk menguruskan berat badan kerana membesar sebagai kanak-kanak obesiti.
“Saya melihat keadaan sekeliling dan rasa rendah diri. Oleh itu, saya mula bina badan dengan memperuntukkan RM1,050 sebulan, ia termasuk yuran gim, suplemen serta RM20 untuk makanan setiap harian.
“Perubahan yang ada sekarang menyebabkan saya lebih berkeyakinan tinggi, berdisiplin, sihat dari segi fizikal dan mental. Pada awalnya memang sukar untuk membiasakan diri tetapi setelah berjaya mengatur kewangan, saya menetapkan kos bina badan sebagai satu komitmen bulanan,” katanya.
Ditanya mengenai pengambilan steroid, dia berpandangan perkara itu akan memberi kesan sampingan kepada mereka yang mengambilnya.
“Saya tidak pernah ambil kerana sudah berpuas hati dan berjaya membina badan selama lebih satu tahun hasil usaha sendiri tanpa pengambilan steroid,” kongsinya.
Sementara itu, Khairul Hafidz Zamri, 37, menjelaskan tidak rugi melabur wang demi kesihatan untuk jangka masa panjang.
“Tidak dinafikan setiap bulan saya memerlukan lebih RM1,000 untuk memastikan makanan yang diambil seimbang. Sambil menyelam minum air, selain mendapatkan badan optimum dan ‘sado’, kesihatan juga terjaga.
“Kita perlu jaga pemakanan dan bersenam sekurang-kurang dua atau tiga jam setiap hari. Buat lah dengan cara betul untuk mendapat bentuk badan diingini tanpa mengunakan sebarang kaedah yang boleh membahayakan kesihatan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!