40 emas sasaran paling habis berani
SASARAN 40 pingat emas diletakkan terhadap kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 dianggap sebagai satu sasaran habis berani.
Malah dalam erti kata lain, pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, jumlah sasaran itu memang dijangka dan biasa disebut sebagai sasaran selamat setiap kali kontinjen negara menyertai sukan berbentuk temasya ini terutamanya Sukan SEA.
“Sebabnya sekiranya kita lihat berdasarkan pengalaman Malaysia, apabila kita meletakkan sekadar 40 pingat emas tetapi kedudukan terbaik keseluruhan di Sukan SEA ini kononnya bukan matlamat kita, seolah-olah kalau kita menduduki peperiksaan besar, kita cuma sekadar nak lulus sajalah.
“Secara logiknya kalau lingkungan 40 pingat emas itu kalau mengikut trend pungutan pingat Sukan SEA dalam beberapa temasya sebelum ini memang kita akan berada pada kedudukan keempat hingga keenam keseluruhan.
“Jika ini menjadi realiti, alangkah merendah dirinya kita, adakah ini nilai jati diri bangsa Malaysia yang cuba kita terapkan menerusi sukan ini. Diam tak diam kita sendiri sudah meletakkan tahap sukan kita kini sekelompok dengan Myanmar, Laos, Kemboja dan Timor Leste barangkali.
“Tabik saya pada Kemboja walaupun hanya menang empat emas di Fillipina dan sembilan emas di Vietnam tetapi begitu berani melaungkan sasaran 103 pingat emas apabila menjadi tuan rumah buat kali pertama. Kita pun macam tak percaya bolehkah Kemboja mencapai sasaran itu?,” katanya.
Jelasnya lagi, beberapa negara termasuk Malaysia mengakui kehilangan banyak pingat emas kerana banyak acara yang memberi kelebihan kepada ketika di Vietnam dulu tidak dipertandingkan di Kemboja.
“Saya lihat di Kemboja ini, Thailand tetap dengan sasaran tinggi 164 pingat emas dan juara bertahan Vietnam menyasarkan 100 pingat emas. Nampaknya orang Thailand dan Vietnam ini sentiasa berjiwa besar dan realistik berbanding kita.
“Kita sering mengumpul pelbagai alasan dulu, kita sudah siapkan jawapan dulu sebagai jawapan kepada punca kegagalan yang akan berlaku nanti.
“Bagi saya, di setiap temasya Sukan SEA ini akan berlaku perkara biasa dan kerap berlaku pada setiap tuan rumah, jadi kalau perkara yang kita sudah biasa dan konsisten serta kerap berlaku, fakta ini sudah tidak lagi boleh dijadikan sebagai alasan tetapi ianya lebih kepada bagaimana kita membuat persediaan lebih rapi untuk menghadapinya perkara-perkara yang sudah dijangka.
“Alasan kerana kontinjen kita diwakili lebih 40 peratus muka baharu dan ini hanya pendedahan untuk kita siapkan mereka apabila menjadi tuan rumah 2027 nanti (lama lagi), entah-entah mereka ini nanti bila gagal di Kemboja terus hilang dari radar.
“Saya agak 'skeptikal' dengan alasan ini. Persoalannya, Sukan SEA temasya paling rendah di rantau ini, banyak negara pun memang diwakili ramai atlet baharu yang mungkin peratusannya sama atau lebih tinggi dari Malaysia, jadi kita sudah siap alasan sebelum perjuangan di Kemboja ini,” katanya.
Sebagai rekod, edisi 31 di Vietnam tahun lalu, kontinjen negara mengakhiri cabaran di kedudukan keenam dengan 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa berbanding Singapura 47-46-73 kelima.
Kontinjen negara diletakkan sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa apabila menyingkap cabaran di Sukan SEA Kemboja 2023.
Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA edisi 32 kali ini melibatkan 927 anggota kontinjen, terdiri daripada 676 atlet dan 251 pegawai.
Pada masa sama sasaran 40 pingat emas itu disasarkan berdasarkan penampilan seramai 440 atlet (64.99 peratus) bakal buat penampilan pertama, 387 atlet (56.33 peratus) berusia bawah 23 tahun.
Kontinjen negara juga hanya mengambil bahagian dalam 33 daripada 36 jenis sukan dipertandingkan
Selain itu, kontinjen negara hanya mengambil bahagian dalam 340 acara (58.42 peratus) daripada keseluruhan 582 acara.
Kontinjen negara tidak bersaing dalam perebutan 242 pingat emas, pingat perak, dan pingat gangsa apabila acara yang tidak disertai itu adalah daripada sukan-sukan pilihan tuan rumah dan jenis sukan asing untuk kontinjen negara seperti sukan arnis, vovinam, kun bokator dan beberapa jenis sukan lain.
Dalam masa sama Pekan juga mengakui tidak terkejut dengan sasaran diletakkan terhadap kontinjen negara di edisi ke-32 kali ini.
“Saya sebenarnya menjangkakannya sekitar 35 hingga 40 pingat emas sebelum ini berdasarkan sesi libat urus dengan persatuan sukan kebangsaan dan prestasi negara Asia Tenggara lain.
“Namun sejujurnya fakta atau statistik diberikan sebagai alasan sasaran 40 pingat emas, seperti 440 atlet bakal buat penampilan pertama, selain 387 atlet berusia bawah 23 tahun dan tuan rumah tidak menyenaraikan 57 acara daripada Sukan SEA Vietnam,” katanya.
Pekan juga mengakui hairan apabila sasaran 40 pingat emas itu disifatkan sebagai realistik, namun pada masa sama masih percaya atlet muda negara mampu merangkul lebih banyak lagi emas.
“Jadi sasaran 40 pingat emas selepas sesi libat urus bersama persatuan sukan bukanlah sesuatu yang realistik, jadi apa maksud sebenarnya dengan sasaran realistik tersebut?
“Jadi dalam kes sasaran 40 pingat emas diletakkan terhadap kontinjen Malaysia di Kemboja 2023, mungkin realistiknya adalah 50 hingga 60 pingat emas.
“Sepatutnya kita perlu berani letak sasaran lebih 50 atau 60 pingat emas untuk berada di kedudukan tiga terbaik Sukan SEA berbanding sasaran untuk rasa selamat dengan 40 emas ini,” katanya
Pekan juga sekali lagi menegaskan Sukan SEA pentas penting bagi menggambarkan iltizam sebenar komuniti sukan negara untuk membawa imej Malaysia secara lebih konsisten ke peringkat lebih tinggi.
“Saya hendak beritahu di sini sebenarnya mindset kita perlu berani berubah sekiranya mahu Malaysia lebih cemerlang dalam arena temasya sukan dunia biarpun sekecil Sukan SEA.
“Sampai bila kita hendak meletakkan sasaran 40 pingat emas setiap kali Sukan SEA di luar Malaysia? Bila masanya kita hendak muncul kuasa sukan sekiranya di tahap Asia Tenggara kita tidak miliki keberanian letak sasaran tinggi?
“Sampai bila kita hendak lihat Thailand atau Indonesia muncul juara di laman lawan tanpa kita berusaha mencabar atlet Malaysia meraih sasaran pingat emas lebih tinggi?,” katanya.
Tambah Pekan lagi, “Sekiranya kontinjen negara gagal meraih sasaran pingat lebih tinggi di Sukan SEA, tiada sesiapa pun yang kena letak jawatan sebagai rasa bertanggungjawab.
“Tengok sahaja kepada Filipina meletakkan sasaran 70 pingat emas, tapi bawa pulang 52 pingat emas dari Vietnam.
“Tiada pula siapa yang letak jawatan, sebaliknya orang kata prestasi Filipina di Vietnam cemerlang lagi apabila atlet negara itu mendapat pelbagai pengiktirafan.
“Begitu juga waktu di Filipina kita sasarkan 70 emas tetapi bawa pulang 56 emas, tiada apa pun yang berlaku,” katanya.
KEDUDUKAN MALAYSIA DI SUKAN SEA
Sukan SEA Thailand 2007
Kedudukan 2 Dari 11 Negara
Emas 68
Perak 52
Gangsa 96
Jumlah 216
Sukan SEA Laos 2009
Kedudukan 4 Dari 11 Negara
Emas 40
Perak 40
Gangsa 59
Jumlah 139
Sukan SEA Indonesia 2011
Kedudukan 4 Dari 11 Negara
Emas 58
Perak 50
Gangsa 81
Jumlah 189
Sukan SEA Myanmar 2013
Kedudukan 5 Dari 11 Negara
Emas 43
Perak 38
Gangsa 77
Jumlah 158
Sukan SEA Singapura 2015
Kedudukan 4 Dari 11 Negara
Emas 62
Perak 58
Gangsa 66
Jumlah 186
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017
Kedudukan 1 Dari 11 Negara
Emas 145
Perak 90
Perak 86
Jumlah 321
Sukan SEA Filipina 2019
Kedudukan 5 Dari 11 Negara
Emas 56
Perak 57
Gangsa 71
Jumlah 184
Sukan SEA Vietnam 2021
Kedudukan 6 Dari 11 Negara
Emas 39
Perak 45
Gangsa 90
Jumlah 174
*Pencapaian Malaysia di Sukan SEA sejak 2007
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!