Akta kuno punca pengemis asing 'besar kepala'

Kemeriahan 1 Syawal di Masjid Negara dicemari dengan kehadiran peminta sedekah etnik Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak di sepanjang laluan menuju ke ruang solat utama. - Foto: MalaysiaGazette
Kemeriahan 1 Syawal di Masjid Negara dicemari dengan kehadiran peminta sedekah etnik Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak di sepanjang laluan menuju ke ruang solat utama. - Foto: MalaysiaGazette
A
A
A

SEJAK puluhan tahun lalu, Malaysia menjadi lubuk kepada pengemis warga asing. Kemurahan hati rakyat Malaysia dilihat sebagai salah satu faktor mengapa kehadiran mereka di negara ini umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Namun, sejak akhir-akhir ini kelibat pengemis termasuk dari Timur Tengah semakin membimbangkan kerana ada yang bersikap agresif apabila kemahuan mereka tidak dilayan.

Malah, semakin ramai pengemis etnik Rohingya turut terlibat dalam aktiviti tersebut dan dilihat semakin bersikap besar kepala.

Misalnya, kemeriahan 1 Syawal di Masjid Negara dicemari dengan kehadiran peminta sedekah etnik Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak di sepanjang laluan menuju ke ruang solat utama.

Di Pulau Pinang pula, tindakan mereka berkampung di salah sebuah kawasan tanah perkuburan mengundang perasaan rimas orang ramai yang menziarahi pusara ahli keluarga sempena 1 Syawal.

Kehadiran mereka untuk meraih simpati bukan sahaja mengundang ketidakselesaan malah turut meninggalkan sampah seperti sisa plastik makanan di kawasan kubur.

Bukan itu sahaja, anak-anak kecil dibiarkan berkeliaran di kawasan kubur, malah ada yang bermain mercun iaitu bukti nyata pelarian dari Myanmar ini sukar berasimilasi dengan penduduk tempatan.

Persoalannya mengapa hal seperti ini terus berleluasa? Umpama harimau tak bertaring, undang-undang sedia ada tidak mempunyai kuasa ke atas pengemis. Baik Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 mahupun Akta Orang-Orang Papa 1977, kedua-duanya tidak menganggap perbuatan mengemis sebagai satu kesalahan.

Akta Orang-Orang Papa 1977 yang bertujuan menjaga dan memulihkan orang papa selain mengawal kutu rayau sudah berusia lebih empat dekad, namun sepanjang 45 tahun dikuatkuasakan, langsung tiada pindaan dilakukan ke atas undang-undang itu.Ada suara-suara menggesa agar akta lapuk tersebut dipinda sudah bergema sejak 2014, namun hingga kini ia umpama anjing menyalak bukit.

Undang-undang lebih tegas perlu dipinda seperti Akta Gelandangan 1824 di United Kingdom yang menyaksikan individu yang tidur di tempat awam atau cuba mengemis di England dan Wales boleh ditangkap.

Apa pun, rakyat di negara ini sudah rimas dan mendesak pengemis asing terutama etnik Rohingya ‘dikutip’ dan dihantar pulang ke negara asal buat selama-lamanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!