Sudah kebal bau sampah

Saiful Amirul bekerjasama dengan Sharifah membersihkan pantai Port Dickson
Saiful Amirul bekerjasama dengan Sharifah membersihkan pantai Port Dickson
A
A
A

PORT DICKSON - Meskipun pekerjaan yang dipilih pasangan suami isteri ini perlu berdepan dengan sampah sarap setiap hari, namun mereka tetap berbangga dengan khidmat dilakukan.

Malah Sharifah Ismail, 38, dan Saiful Amirul Awang, 37, yang merupakan pekerja syarikat pembersihan SWM Environment Sdn Bhd di Pantai Saujana dekat sini sudah merasakan pekerjaan itu serasi dengan mereka.

Menurut Sharifah, dia tidak pernah terfikir untuk mencari pekerjaan lain malah sudah kebal dengan bau sampah yang dihidunya setiap hari.

"Sebelum bekerja dengan SWM Environment ini lagi saya sudah bekerja dalam bidang pembersihan iaitu di kem tentera dan hotel.

"Jadi saya sudah seronok dengan pekerjaan ini, cumanya hanya berbeza lokasi sahaja dan saya dah bekerja dengan SWM Environment ini selama tujuh tahun," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Malah kawasan pantai jagaannya itu sudah dianggap seperti rumahnya sendiri dan hatinya mudah terkesan jika melihat kawasan itu tidak bersih.

Sharifah sentiasa memastikan kawasan pantai sentiasa bersih.
Sharifah sentiasa memastikan kawasan pantai sentiasa bersih.

Oleh sebab itu katanya, dia tidak kisah untuk bekerja pada waktu cuti umum hanya semata-mata bagi memastikan 'rumahnya' itu bersih sepanjang masa.

Sementara itu, Saiful Amirul pula mengakui pada awalnya ada ahli keluarga yang memandang rendah atas pekerjaan dilakukan.

Dia yang mempunyai kelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang automotif bagaimanapun tidak kisah persepsi negatif yang dilemparkan kerana baginya apa yang penting pekerjaan dilakukan adalah halal.

"Apa salahnya kerja kutip sampah? Ia pekerjaan yang murni dan kami tak pernah ada rasa malu pun.

"Dengan pekerjaan ini jugalah kami dapat besarkan dua anak yang kini sudah berusia 17 dan 19 tahun," ujarnya.

Kedua-dua anaknya kata Saiful Amirul, sangat memahami akan pekerjaannya suami isteri kerana sejak kecil mereka sudah diberi pendedahan.

Malah katanya, ada ketikanya mereka juga turut serta menemani membersihkan kawasan pantai.

"Seawal usia 11 tahun saya dah bawa anak-anak ikut kami ke pantai supaya mereka tahu susah senang pekerjaan kami.

Sharifah dan Saiful Amirul bangga dengan pekerjaan pilihan mereka.
Sharifah dan Saiful Amirul bangga dengan pekerjaan pilihan mereka.

"Jadi mereka terbuka dan tak rasa malu untuk beritahu sesiapa sahaja tentang pekerjaan kami sehinggakan anak lelaki saya beritahu selepas habis sekolah dia nak kerja bahagian pembersihan," katanya.

Ujarnya, dia tidak kisah bidang pekerjaan yang diminati anaknya tetapi sentiasa menasihatkan mereka untuk mengutamakan pendidikan.

"Pentingnya kita jangan hina pekerjaan orang yang mencari rezeki dengan cara yang halal," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!