Tiga rakan terselamat, kereta terbabas masuk gaung

Tiga rakan diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah.
Tiga rakan diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Tiga rakan berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung kerana mengelak seekor anjing di Jalan Lendu Masjid Tanah, di sini, pada malam Isnin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa berusia 21 hingga 25 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintendan Arshad Abu berkata, mereka yang menaiki kereta jenis Proton Iriz dalam perjalanan dari Masjid Tanah ke arah Alor Gajah.

Menurut beliau, setiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun telah hilang kawalan selepas dipercayai mengelak seekor anjing yang melintas.

"Kereta dinaiki tiga rakan itu terbabas ke bahu kanan jalan dan melanggar sebatang pokok sebelum terjunam ke dalam gaung," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Ujar beliau, semua mangsa yang mengalami cedera ringan ditempatkan di zon kuning dan hijau Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!