Mael XPDC tiada galang ganti
"TAK BOLEH King, Tuhan dah takdirkan rezeki aku diberi melalui tangan mereka. Aku kena syukur dan hargai mereka yang sanggup datang."
Masih terngiang kata-kata Mael XPDC ketika aku suarakan kebimbangan terhadap penyakit semput dihidapinya sebelum naik ke pentas pada Konsert 3 Generasi, Ogos tahun lalu.
Begitulah sikap Mael dalam menghargai peminatnya walaupun sebenarnya telah sekian lama bertarung dengan penyakitnya itu tanpa pengetahuan peminatnya. Namun, siapa sangka, pada malam itu jugalah beliau terpaksa diusung keluar setelah diserang penyakitnya yang menyebabkan dia sukar bernafas ketika konsert berlangsung separuh jalan.
Ketika ada suara yang mengkritik atau mempersoalkan keupayaan vokalnya di pentas, dia memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu dalam kalangan peminatnya tahu masalah kesihatannya itu.
Baginya, selagi lututnya mampu menongkat badan, dia akan cuba berikan apa yang terdaya memandangkan itulah saja cara untuk dia membalas segala jasa yang diberikan oleh seluruh peminat XPDC.
Sebenarnya, dalam beberapa siri konsert di mana aku turut berada di belakang pentas, sudah banyak kali juga Mael diserang penyakitnya itu ketika menyanyi.
Cuma ada masanya keadaan itu berjaya dikawal oleh Mael dan rakan anggota XPDC yang lain.
Malah, situasi beliau tersandar berhampiran dram Amy sudah kerap kali juga berlaku.
Pengurusnya Yazid Selamat dan anggota XPDC sendiri memang sedia maklum dan akan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya berlaku sesuatu kepadanya.
Kini Mael sudah tiada, dan ramai pihak terutamanya peminat serta rakan-rakan artis dalam industri hiburan tanah air sangat merasakan kehilangan 'Raja Metal' itu.
Baik, ramah, tidak menyombong diri, serta sering ringan tulang apabila ada pihak yang meminta pertolongan.
Malah dalam banyak keadaan, Mael dan rakan-rakan tidak berapa gemar bantuan yang dihulurkan itu diuar-uarkan atau didedahkan media.
Ada masa selaku pengamal media, kami akur dan hormat permintaan beliau agar perkara itu tidak dihebohkan.
Aku masih ingat sewaktu hendak menjayakan laporan Khas mengenai nasib yang menimpa bekas pemain dram kumpulan Search, Allahyarham Yazit Ahmad.
Ketika memikirkan bentuk dan sumber bantuan yang perlu dicari, XPDC yang pertama datang menawarkan kepada aku agar sama-sama melancarkan tabung bantuan untuk diberikan kepada Yazit pada konsert 'Raja Metal Gegar Utara' yang diadakan pada 2 Mac 2019 di Pulau Pinang.
Tidak diketahui berapakah jumlah kutipan waktu itu kerana Mael tidak membenarkan sesiapa pun membuka tabung kutipan berkenaan, sebaliknya memberikan terus kepada Yazit.
Aku masih ingat lagi kata-kata beliau, "Jangan sesiapa buka dan kira berapa yang dapat, kita bukan nak orang tahu berapa kita bagi... itu semua rezeki Allah bagi untuk dia."
Itu antara banyak lagi sumbangan yang pihak XPDC tidak mahu hebahkan.
Menyentuh mengenai persoalan apakah yang akan XPDC hadapi untuk meneruskan karya dalam industri tanah air, XPDC tiada pilihan lain selain meneruskan legasi yang telah Allahyarham Mael tinggalkan.
Menurut Yazid, perjuangan XPDC akan tetap disambung oleh anggota yang lain dan semua konsert yang telah dijadualkan akan berjalan seperti biasa.
"Bagaimanapun kita ada pendekatan-pendekatan tertentu untuk menjayakan konsert tersebut dalam keadaan sekarang ini (ketiadaan Mael).
"Yang pasti kita akan menampilkan persembahan seperti mana yang diharapkan oleh peminat dan insya-Allah kita akan cuba buat yang terbaik dan istimewa buat mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
XPDC dijadual mengadakan konsert di Sungai Petani pada 5 Mei selain 'Tribute to Legend Mael XPDC' di Soundvalley Festival, MAEPS pada 6 Mei ini.
Menurut Yazid lagi, penganjur pada konsert di MAEPS juga telah bersetuju untuk mengadakan persembahan XPDC pada hari tersebut secara percuma dan ia khas bagi mengenang kehilangan Mael yang telah kembali ke Rahmatullah pada 27 April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!