Rakyat Malaysia perlu prihatin jaga rumah ibadat, kata Mujahid
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia perlu prihatin menjaga mana-mana rumah ibadat agar tidak diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ini kerana rumah ibadat merupakan tempat yang suci dan dihormati.
"Walaupun bukan rumah ibadat (sesuatu agama) tetapi rasa prihatin itu perlu ada. Semua rakyat Malaysia bertanggungjawab dalam memastikan tidak ada mana-mana pihak menceroboh kerana ia boleh menimbulkan kebencian antara kaum dan agama di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada program himpunan solidariti #SalamSriLanka di Dataran Merdeka malam ini.
Turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar, Menteri Industri Utama Teresa Kok, Pengarah Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Penganut Antara Agama (JKMPKA) Nurul Akma Samsudin serta wakil agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Mujahid turut menyambut baik usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetatkan kawalan di semua rumah ibadat di seluruh negara.
"Saya yakin mereka (polis) sentiasa membuat rondaan (di rumah ibadat) tetapi kali ini kawalan itu dipertingkatkan lagi," katanya.
Himpunan solidariti #SalamSriLanka yang berlangsung kira-kira dua jam itu dianjurkan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dengan kerjasama JKMPKA.
Lebih 100 orang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama menyertai himpunan itu dengan menyalakan lilin dan membawa jambangan bunga sebagai tanda solidariti terhadap serangan bom di Sri Lanka sempena Hari Easter pada 21 April lepas.
Siri serangan bom ke atas beberapa hotel dan gereja itu dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 250 nyawa.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!