Perkeso laksana bulan pemutihan sehingga 30 Jun

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Hari Pekerja 2023 kepada Mohamed Azman (dua dari kanan) pada Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam pada Isnin. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Hari Pekerja 2023 kepada Mohamed Azman (dua dari kanan) pada Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan Bulan Pemutihan bermula Isnin hingga 30 Jun ini bagi memberi lebih peluang dan ruang kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka secara sukarela.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ini merupakan kali pertama agensi itu melaksanakan Bulan Pemutihan selama dua bulan berbanding hanya sebulan sebelum ini.

"Tujuannya bagi memberi kesempatan kepada majikan mendaftar dan mencarumkan pekerja yang digajikan untuk operasi perniagaan susulan perkembangan ekonomi pascapandemik Covid-19.

"Justeru, Perkeso menyeru semua majikan yang layak dan masih belum mendaftar dan mencarum (untuk pekerja) supaya segera berbuat demikian secara sukarela sama ada dalam talian melalui Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, ataupun hubungi Careline Perkeso di 1-300-22-8000,” katanya dalam sidang media berkenaan program itu di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Bulan Pemutihan itu, majikan akan dikecualikan daripada tindakan pengkompaunan, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) walaupun telah melewati tempoh mendaftar dan mencarum yang ditetapkan.

Menurut Mohammed Azman, selepas Bulan Pemutihan, Perkeso akan melaksanakan Ops Kesan 2023 bermula Julai ini selaras dengan kerangka Malaysia Madani oleh kerajaan, bagi memastikan pekerja dalam negara, tidak kira domestik atau asing, mendapat perlindungan keselamatan sosial.

"Ops Kesan bertujuan memastikan semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji) mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

"Menerusi operasi ini, Perkeso akan mengerahkan lebih 500 pegawai pemeriksa untuk mengenal pasti majikan yang gagal mendaftar dan mencarum dengan Perkeso bagi memastikan setiap pekerja yang layak, mendapat perlindungan keselamatan sosial demi kesejahteraan mereka sekiranya ditimpa sebarang musibah yang tidak dijangka,” katanya.

Beliau mengingatkan kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka merupakan satu kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM5,000 dan pendakwaan mengikut kesalahan yang dilakukan.

"Selain itu, majikan juga akan dikenakan FCLB pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman Perkeso.

"Sekiranya majikan didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!