Brighton teruja menanti kunjungan United
DILEMA jurulatih Brighton, Roberto De Zerbi untuk menyenaraikan kesebelasan utama menjelang kunjungan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Jumaat ini.
Seagulls juga mahu melunaskan dendam kekalahan aksi separuh akhir Piala FA bulan lalu dan tekad tampil bertenaga Jumaat ini selepas membelasah Wolverhampton Wanderers 6-0.
“Saya serta pemain tidak sabar menantikan perlawanan Khamis (Jumaat) ini,” ujar De Zerbi.
Pada perlawanan itu, De Zerbi meletakkan pemain berstatus bintang Alexis Mac
Allister, Moises Caicedo dan Kaoru Mitoma di bangku simpanan.
Penyerang Deniz Undav menyumbat dua gol sebelum Pascal Gross dan Danny Welbeck meledak empat gol lagi.
Pendekatan De Zerbi 'membangunkan' pemain menerima pujian dan kini beliau mengakui berdepan kesukaran mengenai pemain yang perlu diketepikan selepas kemenangan bergaya ke atas Wolves.
“Sukar memutuskan barisan kesebelasan utama. Ia pasti akan berdepan masalah, saya rasa tidak boleh tidur, tetapi ia tidak menjadi masalah,” katanya.
Brighton ketinggalan 11 mata di belakang United dan mahu memburu tiket ke saingan Eropah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!