Renang: Sebastian cipta rekod kebangsaan baru
PERENANG muda Sebastian Soon mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya mencipta rekod kebangsaan baru dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2019 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Perenang berumur 18 tahun itu merangkul pingat emas dengan catatan masa 4:28.34 saat (s) dalam acara rampaian lelaki 400 meter individu.
Sebastian, yang mewakili Wilayah Persekutuan memecahkan rekod sebelum ini 4:30.48s yang dipegang oleh Tia'a Faang Der pada tahun 2018.
"Saya sangat gembira kerana saya hanya mensasarkan pingat emas sahaja, kejayaan memperbaharui rekod negara sebenarnya bukan sasaran saya,” katanya.
Sebastian, yang biasanya mengambil bahagian dalam kejohanan kumpulan umur dan kejohanan sekolah sebelum ini berkata ini merupakan kejayaan terbesarnya selepas menjalani latihan selama 10 tahun.
"Saya harap dapat mewakili negara ke Sukan SEA, itu sentiasa menjadi sebahagian daripada impian perenang,” kata perenang yang berasal dari Kajang itu, yang mula berenang sejak berumur enam tahun lagi.
"Selepas ini saya akan terus berusaha membaiki renangan dalam kedua-dua aspek - kelajuan dan stamina, dan pada masa yang sama perlu juga beri tumpuan kepada kolej,” kata beliau yang masih belajar di Taylor's University di Subang Jaya itu.
Sementara itu Welson Sim dari Sarawak memecahkan rekod kejohanan dengan catatan masa 1:47.48s dalam acara lelaki 200m gaya bebas, bagi memadamkan rekod lamanya 1:47.97s tahun lepas.
Beliau memperoleh pingat emas dalam acara kegemarannya, meninggalkan pemenang pingat perak Terence Ng dari Selangor dengan perbezaan 8.14 seconds.
"Walaupun catatan masa cukup baik, hanya satu saat lebih perlahan berbanding masa terpantas saya, saya rasa sedikit kecewa kerana sebenarnya saya rasa boleh berenang lebih laju lagi,” kata perenang negara itu.
Welson akan beraksi dalam acara 1,500m gaya bebas esok.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!