PH, UMNO Pulau Pinang setuju elak bertembung kerusi PRN

Pimpinan PH dan UMNO Pulau Pinang mengadakan pertemuan pada Isnin bagi membincangkan persiapan menghadapi PRN akan datang.
Pimpinan PH dan UMNO Pulau Pinang mengadakan pertemuan pada Isnin bagi membincangkan persiapan menghadapi PRN akan datang.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) dan UMNO Pulau Pinang mencapai persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketetapan itu dicapai dalam pertemuan rasmi kali pertama yang diadakan antara dua gabungan parti itu di negeri ini pada Isnin.

Pengerusi PH, Chow Kon Yeow berkata, walaupun soal pembahagian kerusi belum lagi dapat dimuktamadkan namun melalui pertemuan itu, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk memastikan kemenangan besar PH dan BN pada PRN akan datang.

"Pertemuan yang berlaku disifatkan sebagai pertemuan bersejarah sebab tak pernah kita berjumpa secara rasmi sebelum ini tetapi dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan setelah PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) maka membuka senario yang baharu dalam politik Malaysia.

"Jadi, kita mencapai satu persetujuan untuk kerjasama dalam PRN di Pulau Pinang yang akan berlangsung tidak lama lagi supaya tidak bertanding sesama sendiri selain akan memastikan kemenangan besar untuk PH dalam PRN nanti," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Selasa.

Kon Yeow berkata, dalam pertemuan yang berlangsung lebih satu jam itu, kedua-dua pihak turut mendengar pandangan masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya menegaskan mengenai prinsip yang telah dicapai oleh pimpinan pusat kedua-dua gabungan parti itu sebelum ini yang bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14 lalu.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pihak juga setuju untuk melihat kriteria lain daripada prinsip berkenaan sebelum ketetapan pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan nanti.

"Kedua-dua pihak setuju tentang prinsip-prinsip ini dan akan meneruskan perbincangan yang seterusnya setelah apa yang dipersetujui dibawa balik kepada gabungan masing-masing untuk perbincangan lanjut.

"Kita menyifatkan pertemuan ini satu kejayaan walaupun belum dapat memuktamadkan soal pembahagian kerusi. Kita setuju dengan prinsip-prinsip, setuju untuk mendengar dan sudah mendengar dan melihat sejauh mana permintaan masing-masing dapat akhirnya mencapai persetujuan," katanya lagi.

Ditanya mengenai ketiadaan pemimpin parti komponen BN lain dalam pertemuan itu, Kon Yeow berkata, kerjasama yang terjalin pada dasarnya adalah di antara PH dan BN, namun pada mesyuarat semalam kedua-dua pihak fokus kepada kerusi majoriti Melayu sahaja dan beberapa pertemuan lagi akan diadakan pada masa akan datang.

"Bagi pihak UMNO yang hadir semalam, mereka juga merupakan pimpinan BN Pulau Pinang dan kami menegaskan BN harus menguruskan isu-isu dalaman termasuk menguruskan dengan komponen parti yang lain dalam BN.

"Itu tanggungjawab mereka seperti mana tanggungjawab kami dalam PH, kita perlu ada persefahaman dalaman sebelum dapat membawa untuk rundingan seterusnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!