Tentera Darat perlu kekal sebagai angkatan berkredibiliti
KUALA LUMPUR - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berkata, Tentera Darat perlu terus mengekalkan kedudukannya sebagai angkatan yang berkredibiliti dalam mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan melindungi kepentingan negara.
Mohammad berkata, keperluan itu menjadi kian mendesak terutama dengan situasi kerapuhan persempadanan antarabangsa yang kompleks serta kedudukan dua wilayah daratan Malaysia yang dipisahkan Laut China Selatan.
Beliau berkata, Tentera Darat mestilah sejajar dengan profil angkatan masa hadapan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dan strategi ketenteraan negara.
"Ia berasaskan enam ciri iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, berupaya untuk beroperasi di dua wilayah, berorientasikan misi dan kecekapan logistik.
"Selain itu, Tentera Darat akan meneruskan aspirasi Angkatan Tentera Malaysia dalam menjana keupayaan peperangan bersama yang berasaskan sinergi merentas domain demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kemakmuran negara terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara Perbarisan Perutusan Perintah Ulung PTD ke-29 di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi, di sini pada Selasa.
Menurutnya, Tentera Darat sedang mengorak langkah ke arah pembentukan satu ketumbukan yang berkredibiliti menerusi pelan pembangunan keupayaan strategik ‘Army 4NEXTG’ (Untuk Generasi Akan Datang).
"Situasi strategik dunia dan serantau sukar diramal selain dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam hubungan serantau dan antarabangsa.
"Oleh itu, Tentera Darat perlu bergerak tangkas untuk mendukung matlamat Malaysia yang selamat, berdaulat dan makmur sebagaimana yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.
Selain itu, Mohammad juga berkata, Tentera Darat perlu mendukung postur ATM yang bersepadu, tangkas dan berfokus sejajar dengan strategi ketenteraan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!