Ahmad Mustain sedia pertahan DUN Sabak

Ahmad Mustain
Ahmad Mustain
A
A
A

SABAK BERNAM - Ketua PKR Cabang Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman sedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang diadakan tahun ini.

Bagaimanapun, Ahmad Mustain berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu bergantung kepada kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).

"Kita tunggulah arahan pucuk pimpinan, kalau ditakdirkan ada kerusi untuk saya Alhamdulillah, tetapi jika tiada saya berserah," katanya ketika ditemui selepas Program Jualan Murah Barangan Asas Kerajaan Selangor DUN Sabak di kediaman Mohd Arshad, No 2, Parit 9 Timur di sini pada Selasa.

Ditanya kesediaannya bertanding di DUN lain memandangkan kerusi dimenangi beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah), Ahmad Mustain berkata, perkara itu diserahkan kebijaksanaan pucuk pimpinan PH.

"Saya lebih bersedia mempertahankan jawatan di DUN (Sabak) ini kerana sudah bekerja agak lama di sini.

"Penduduk di sini kenal saya dan kalau saya berpindah di DUN lain mungkin sedikit sukar," ujar beliau.

Malah, jelas beliau, kira-kira 99 peratus usaha beliau bagi kerja-kerja pembangunan dan perancangan untuk kemajuan di Sabak Bernam mencapai kejayaan.

Kata beliau, antara projek pembangunan dilaksanakan antaranya menyediakan kemudahan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Air Manis, pembangunan semula hotel Hay Resort dan Projek Perumahan Taman Air Manis yang terbengkalai sejak 15 tahun lalu.

"Cuma satu peratus sahaja belum terlaksana dan masih gagal dalam manifesto peribadi saya iaitu meningkatkan hasil padi hingga ke hari ini.

"Kalau saya ditakdirkan kekal di DUN Sabak fokus utama saya sudah tentu untuk memastikan nasib pesawah di sini terus terbela," ujar beliau.

Ahmad Mustain sebelum ini menang di DUN Sabak atas tiket Amanah pada PRU14 lalu dan menyertai PKR pada Ogos 2020.

Selain Ahmad Mustain, Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar turut menyertai PKR selepas mengambil keputusan meninggalkan Amanah sebelum ini.

PKR sebelum ini dilaporkan bersedia memulangkan dua kerusi iaitu DUN Sabak dan Meru kepada Amanah.

Meskipun Ahmad Mustain dan Mohd Fakhrulrazi menyertai PKR, tetapi dua kerusi itu milik Amanah untuk ditandingi pada PRN Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!