Pengimport telur dibenar serah writ saman melalui iklan
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membenarkan syarikat pengimport telur untuk menyerahkan writ saman kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan mengiklankannya di akhbar.
Peguam, Elyse Ng yang mewakili Syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd berkata, percubaan untuk menyampaikan dokumen tindakan undang-undang dan pernyataan tuntutan, gagal diserahkan kepada Mohamed Azmin, beberapa kali.
Menurutnya, ketika pengurusan kes pada Jumaat lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rozana Husin membenarkan permohonan anak guamnya mengenai penyampaian ganti iaitu mengiklankannya menerusi akhbar.
“Kami diarahkan oleh mahkamah untuk menyampaikan kertas kausa (kepada Mohamed Azmin) dengan menyiarkan notis menerusi kaedah tersebut.
“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 16 Mei ini,” katanya ketika dihubungi media.
J&E memfailkan saman terhadap bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.
Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) selaku defendan, membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam 'Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman' di sebuah dewan di Taman Melewar di sini pada 11 Mac lalu.
Syarikat itu selaku plaintif berkata, ucapan berkenaan turut diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik, dalam dan luar negara termasuk YouTube.
Walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan dalam ucapan berkenaan, namun jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen pada 8 Mac lalu.
Plaintif mendakwa, kenyataan fitnah itu diterbitkan atau disiarkan semula oleh defendan walaupun mempunyai pengetahuan bahawa syarikat berkenaan hanya mengimport telur dari India.
Ia sebagai langkah sementara untuk keperluan pasar raya dan pasar mini ketika musim perayaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan telur yang serius, mulai Oktober 2022.
Menurut syarikat itu, kenyataan berkenaan tidak benar dan melampau kerana ia tidak pernah terbabit dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan kerajaan.
Plaintif mendakwa, tindakan Mohamed Azmin itu berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan imej serta reputasinya selain untuk mencapai publisiti murahan dan kepentingan politik.
Sehubungan itu, ia memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan ucapan fitnah itu dan memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!