Kembali Kitchen tawar sajian kampung sempena Ramadan
PETALING JAYA - Bersempena Ramadan, Hotel Best Western Petaling Jaya akan menyajikan bufet makan malam bertemakan 'Selera d'Kembali' di Restoran Kembali Kitchen bermula 13 Mei hingga 31 Mei ini.
Lebih 100 juadah antaranya gulai daging kawah, telur itik bersama belimbing masak lemak cili padi, ayam percik kelantan, daging rendang tok, paru berlado, pucuk manis masak lemak dan sotong masak lemak pucuk ubi akan disajikan di restoran yang terletak di tingkat enam itu.
Pelanggan juga boleh menikmati udang mongolian, ikan masak tikka, daging kambing goreng lada hitam, kambing bakar, ikan bakar dan sotong masak kalio.
Lebih istimewa, Executive Sous Chef, Al Muhaimin akan menyediakan daging salai bersama mangga muda masak lemak cili padi yang pastinya membuatkan pelanggan kecur liur.
Chef Al Muhaimin berkata, beliau akan menyediakan sajian yang disukai dan menjadi pilihan pelanggan.
"Apabila orang tahu sajian itu, dia mesti akan makan. Di sini kita sediakan sajian yang popular seperti daging salai bersama mangga muda masak lemak cili padi dan daging masak merah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada prebiu bufet makan malam bertemakan 'Selera d'Kembali' di Restoran Kembali Kitchen, di sini.
Al Muhaimin berkata, dua hidangan itu menggunakan bahagian daging berkualiti dan mahal supaya tidak perlu dimasak terlalu lama serta lembut apabila dimakan.
Bufet makan malam ini berharga RM125 bagi seorang dewasa namun pelanggan boleh menikmati harga istimewa RM75 untuk pembelian awal dan bonus percuma seorang dengan setiap pembelian untuk lima orang.
Promosi pembelian awal berakhir 30 April ini dan bagi kanak-kanak lima hingga 12 tahun serta warga emas berusia 55 tahun ke atas, harga dikenakan ialah RM62.50 setiap seorang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!